PENTADBIRAN Najib Razak sebelum ini memintas klasifikasi rasmi pelbagai komitmen kewangan kerajaan supaya hutang negara kelihatan lebih rendah berbanding jumlah RM1 trilion yang didedahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata wakil rakyat DAP Tony Pua.
Mendakwa Najib yang merupakan bekas perdana menteri berada dalam keadaan penafian dan memutar belit fakta berhubung tahap sebenar hutang kerajaan, Pua berkata pentadbiran sebelum ini gagal mengambil kira obligasi hutang sebenar dalam angka rasminya.
“Bekas perdana menteri itu jelas cuba berlaku tidak jujur dengan permainan kata-kata. Bukankah ros dengan nama lainnya, mempunyai bau yang tetap sama?
“Atau lebih tepat, Bukankah hutang, apa pun namanya tetap dianggap buruk?” kata Pua dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Damansara itu berkata jaminan kerajaan untuk anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan disalah guna oleh kerajaan terdahulu untuk memintas klasifikasi rasmi sebagai hutang kerajaan Persekutuan.
“Akhirnya, entiti yang tidak mampu membayar hutang jaminan kerajaan Persekutuan terpaksa meminta kerajaan Persekutuan melunaskan obligasinya. Adakah Najib cuba beritahu rakyat Malaysia hanya kerana kerajaan Persekutuan membayar hutang tersebuat sebagai penjamin, maka ia bukan hutang kerajaan Persekutuan?”
Kerajaan terdahulu juga katanya telah menyalah guna klasifikasi “jaminan kerajaan” untuk bayaran pajakan untuk projek tertentu, seperti pajakan berjumlah RM42.2 bilion kepada Danainfra Nasional untuk pembinaan Transit Aliran Deras (MRT), yang akan berakhir beberapa dekad akan datang.
Contoh lain, kata Pua, adalah jaminan kerajaan berjumlah RM38 bilion untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Hakikat bahawa Kementerian Kewangan secara rahsia membayar sebagai RM7 bilion atau lebuh hutang 1MDB sehingga kini, bukankan hutang 1MDB harus dianggap sebagai hutang kerajaan Persekutuan?” tambah Pua.
Beliau turut membangkitkan mengenai penyalahgunaan skim perkongsian awam-persendirian (PPP) di mana kontrak dianugerahkan kepada syarikat swasta untuk pembinaan projek.
Kerajaan Najib tidak membayar secara langsung untuk projek berkenaan sebaliknya membuat bayaran pajakan secara bulanan yang menurut Pua “tiga kali ganda daripada nilai sebenar, atau RM1.5 bilion dalam kes ini, untuk 10 atau 20 tahun akan datang.”
“Syarikat swasta akan mengambil kontrak mewah ini kepada bank sebagai cagaran untuk membiayai projek berkenaan.
“Kami amat terkejut apabila mendapati kerajaan terdahulu menganugerahkan projek PPP bernilai lebih RM63 bilion, menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung bayaran pajakan berjumlah RM201 bilion untuk beberapa dekad akan datang.”
Pua berkata angkat tersebut “disorok” daripada liabiliti kerajaan.
Pua, yang merupakan ahli kumpulan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mengulas kritikan Najib berhubung pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Lim mengenai hutang negara yang mencecah RM1.09 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia
Lim pada Khamis menyenaraikan hutang-hutang berkenaan iaitu “hutang rasmi kerajaan Persekutuan” berjumlah RM686.8 bilion (50.8% KDNK), “Jaminan Kerajaan” berjumlah RM199.1 bilion (14.6%) dan pajakan projek PPP berjumlah RM201.4 bilion (14.9%). – 26 Mei, 2018.
Komen