Pakatan belum terima permohonan PBRS


The Malaysian Insight

PARTI Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masih belum memohon untuk kenyertai Pakatan Harapan selepas meninggalkan Barisan Nasional pada 2 Mei lalu.

PBRS memenangi kerusi Parlimen Pensiangan dan kerusi Dun Sook pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Pengerusi PH negeri Christina Liew memberitahu Malaysia Decides hari ini permohonan masih belum diterima di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Pengerusi PBRS Joseph Kurup sebelum ini berkata parti itu akan menghantar permohonan rasmi untuk menyertai pakatan.

“Mereka kata sudah memohon (sebagaimana yang dilaporkan) di akhbar, tetapi ibu pejabat PKR masih belum menerima sebarang permohonan. Pejabat di Sabah juga tidak menerima apa-apa.”

Christina berkata, peluang untuk PBRS menyertai PH adalah tipis apabila pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad telah menutup pintu kepada pembelot BN.

Joseph bagaimanapun tidak dapat dihubungi hari ini untuk komen.

Timbalannya, Arthur Kurup bagaimanapun berkata, PBRS akan kekal sebagai parti bebas buat masa ini.

“Kita melihat semula kedudukan, dan keutamaan kami sekarang adalah berjuang untuk rakyat Sabah.

“Kita masih menunggu keputusan daripada majlis tertinggi berkenaan keputusan presiden, sebelum kami buat keputusan untuk menyertai mana-mana pakatan,” kata Arthur yang juga ahli Parlimen Pensiangan.

Joseph berkata, salah satu matlamat PBRS dalah untuk bekerjasama dengan parti di Sarawak bagi meningkatkan penyertaan wakil Malaysia Timur di peringkat persekutuan. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen