ECRL masih diteruskan, kata duta


The Malaysian Insight

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang berjalan meskipun Malaysia akan mengkaji semula mengenai projek bernilai RM55 bilion itu, kata duta China ke Malaysia, Bai Tian.

“Projek ini sudah bermula dan ia berjalan lancar. Kedutaan tidak menerima sebarang notis perubahan kepada projek,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Zoo Negara  di mana beliau hadir untuk menyaksikan anak panda gergasi yang lahir pada Januari lalu.

Induk anak panda berkenaan merupakan pinjaman 10 tahun dari China ke Malaysia sebagai memperingati 40 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan akan melihat semula semua projek yang mahal, termasuk ECRL.

Khamis lalu, Bai Tian melawat Dr Mahathir di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya dan mengesahkan kerjasama berterusan antara Malaysia dan China.

“China sentiasa menyokong syarikat Cina untuk melabur di Malaysia selagi mereka memenuhi kelayakan undang-undnag dan amalan budaya Malaysia dan berpegang kepada prinsip perniagaan dan standard kontrak antarabangsa,” katanya ketika ditanya berhubung lawatan itu.

Dalam satu temubual dengan The Edge yang diterbitkan hari ini, Dr Mahathir berkata projek ECRL akan dikaji semula kerana ia mempunyai aturan yang “pelik” di mana pinjaman untuk Malaysia bagi membina projek itu disimpan di luar negara.

Pinjaman RM55 bilion yang diambil oleh Malaysia adalah dari Export-Import Bank of China dan dibayar kepada kontraktor China projek itu, Communications Construction Co Ltd.

Dr Mahathir berkata ini telah menimbulkan keraguan wang itu digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd dan untuk membeli syarikat-syarikat tertentu. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen