Polis, peguam masih belum dapat kesan lokasi Jamal


The Malaysian Insight

POLIS masih belum dapat mengesan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos yang “melarikan diri” dari hospital semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata pihaknya bagaimanapun percaya Jamal masih berada di sekitar Lembah Klang.

“Dia ada lagi di sini, biasalah dia ini nakal sikit. Tapi saya dah minta anggota kita di Ampang cari dia kerana kita masih belum dapat berhubung dengan dia lagi,” katanya kepada Malaysia Decides.

Peguamnya, Mohd Imran Tamrin turut mengesahkan pihaknya masih belum dapat mengesan kedudukan Jamal.

“Kita tak dapat idea dan petunjuk di mana kedudukan dan perancangan beliau namun kita khuatir beliau menerima nasihat yang salah,” katanya kepada Malaysia Decides.

Jamal semalam dipercayai melarikan diri dari Hospital Ampang Puteri ketika proses ikat jaminnya belum selesai.

Imran dalam kenyataan awalnya semalam berkata pihaknya yakin berlaku salah komunikasi oleh anak guamnya itu.

“Saya percaya mungkin berlaku sedikit ‘miscommunication’ dan anak guam kami beranggapan proses ikat jamin tersebut telah sempurna.

“Ini pengalaman pertama beliau dalam menghadapi situasi atau prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah. Saya juga percaya, ini kes kekhilafan tanpa sebarang niat melakukan apa-apa jenayah termasuk niat untuk lari dari tahanan,” katanya dalam kenyataan itu.

Cubaan Malaysia Decide untuk menghubungi Jamal juga gagal.

Pegawai Jamal yang enggan dikenali turut berkata majikannya itu tidak dapat dihubungi sejak semalam. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen