DR Mahathir Mohamad yang mencatat sejarah apabila menjadi perdana menteri buat kali kedua berkata, peranannya pada masa kini “lebih sukar” kerana bekerja dengan pasukan yang tidak dikenali dalam persekitaran yang tidak menentu.
Beliau yang turut mencatat rekod dunia sebagai perdana menteri paling tua pada usia 92 tahun, berkata ketika mula memegang jawatan itu ada 1981 pada usia 56 tahun, kerajaan adalah utuh dan beliau hanya perlu mengisi nama untuk jawatan kabinet.
Selepas memimpin Pakatan Harapan kepada kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke 14, Dr Mahathir berkata beliau berdepan “tugas yang lebih sukar”.
“Saya bekerja dalam persekitaran tidak menentu. Saya perlu bekerja dengan struktur kerajaan sedia ada yang teah dicemari oleh kerajaan sebelum ini. Ia adalah tugas yang lebih sukar (berbanding 1981).
“Saya perlu duduk dan diberi taklimat.Dan saya perlu isi jawatan dengan orang yang saya tidak kenal. Ia mengambil masa lama (untuk letakkan kerajaan baharu),” katanya pada sesi temu bual dengan The Edge.
Katanya, beliau turut bekerja dengan penjawat awam kanan yang beliau tidak kenali, bermakna beliau perlu lebih berhati-hati dengan siapa yang boleh dipercayai.
“Sesetengahnya (penjawat awam) terlibat secara mendalam (dalam kerajaan lama). Sesetengahnya jelas dipaksa melakukan perkara tertentu. Sekali lagi, kita perlu pisahkan mereka, antara mereka yang komited dengan parti pemerintah sebelum ini dan mereka yang dipaksa menjalankan tugas untuk kepentingan, yang mana ia adalah salah.
“Saya kenal segelintir penjawat awam lama, tetapi saya tidak kenal yang baru. Bolehkah saya terima dan percayakan mereka?” katanya dalam temubual itu.
“Jabatan politik ditubuhkan untuk berkhidmat kepada parti politik, bukan negara. Banyak wang dibelanjakan. Ia sangat teruk. Semua mereka (lantikan), kita perlu keluarkan,” katanya.
Dr Mahathir bersara pada 2003 selepas 22 tahun memegang jawatan itu, sebelum kembali dalam politik pada 2016 selepas menubuhkan parti Bersatu untuk mengetuai pakatan yang menjatuhkan perdana menteri Najib Razak.
“Rakyat tidak suka dengan kerajaan (sebelum ini), mereka rasa banyak perkara dibuat secara salah dan kita peru korek semua salah laku ini,” katanya.– 26 Mei, 2018.
Komen