Pilihan raya datuk bandar tiga tahun lagi, kata menteri


The Malaysian Insight

PILIHAN raya bagi memilih datuk bandar mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata selain perlu mengadakan kajian terlebih dulu, kementeriannya juga menunggu sehingga ekonomi negara pulih sebelum boleh mengadakan pilihan raya bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sekarang ada banyak perkara yang perlu dikemas kini, ‘house cleaning’, jadi saya fikir mungkin dalam masa enam bulan kita akan melihat kajian untuk dilaksanakan.

“Ekonomi negara juga perlu distabilkan dulu supaya tidak menambahkan beban,” katanya kepada media selepas program lawatan di Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Jalil, hari ini.

Zuraida sendiri membangkitkan cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi datuk bandar, sebaik saja dilantik memegang portfolio tersebut.

Beliau sebelum ini berkata idea pemilihan datuk bandar wajar dilaksanakan selari dengan semangat Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.

Ahli Parlimen Seputeh,Teresa Kok juga pernah mencadangkan di Parlimen supaya pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan semula ketika PH masih menjadi pembangkang.

Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang berkata pilihan raya mungkin akan diadakan secara berperingkat di mana Selangor dan Pulau Pinang mungkin antara negeri yang terawal dapat menjalankan proses itu.

“Saya pernah lihat pilihan raya tempatan di Indonesia dan negara lain. Tapi setakat ini kita tidak boleh buat di semua negeri kerana kekangan bajet.

“Tapi kita lihat mungkin Selangor dan Pulau Pinang dulu iaitu negeri maju dan kemudian kita adakan secara berperingkat,” katanya. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen