PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mempunyai aturan yang “pelik” yang mana pinjaman untuk Malaysia membina projek terbabit disimpan di luar negara, kata perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kepada The Edge.
Katanya, ia membawa kepada keraguan bahawa sebahagian daripada duit berkenaan digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad dan membeli beberapa syarikat.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, duit daripada pinjaman yang dibuat oleh Malaysia daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank) di simpan di luar nagara dan dibayar kepada syarikat pembinaan China, China Communications Construction Co Ltd (CCCC), in China.
Satu lagi perkara yang luar biasa adalah bayaran kepada CCCC berdasarkan jadual yang teah ditetapkan dan bukan berdasarkan kerja yang telah selesai, kata Dr Mahathir.
“Kontrak itu (ECRL) sangat pelik. Kontraktor mesti dari China dan pinjaman dari China. Dan duit tidak boleh masuk ke sini tetapi (simpan di luar negara) untuk bayar kontraktor di China,” katanya pada sesi temu bual selepas dua minggu memegang jawatan perdana menteri kepada The Edge.
Menurut laporan The Edge, ini bukan “cara yang normal”. Dalam amalan biasa, pinjaman perlu dikeluarkan di Malaysia dan dibayar kepada anak syarikat asing tempatan memandang projek itu di Malaysia.
Apabila ditanya oleh The Edge mengenai desas-desus pinjaman untuk ECRL teah digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan memiliki syarikat, Dr Mahathir berkata: “Ya, terdapat keraguan”.
Katanya kerajaan PH akan menyemak dan berunding semula terma projek berkenaan.
Memetik sumber dan dokumen yang dilihatnya, The Edge melaporkan bahawa ECRL boleh dibina untuk di bawah RM40 bilion tetapi telah dinaikkan kepada RM60 bilion. Jumlah tambahan itu didakwa digunakan untuk membantu membayar beberapa obligasi hutang 1MDB dan untuk pembelian dua syarikat yang dikaitkan dengan pembiaya Low Taek Jho, sekutu bekas perdana menteri Najib Razak dan dalang skandal 1MDB.– 26 Mei, 2018.
Komen