Umno baharu tak boleh lagi bergantung retorik Melayu, kata exco Pemuda


The Malaysian Insight

UMNO tidak lagi boleh bergantung pada retorik hak Melayu, kata pemimpin mudanya, Shahril Hamdan, ketika parti Melayu itu mencari hala tuju baru dalam peta politik Malaysia yang berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Umno perlu bertukar wajah setelah laungannya tentang hak Melayu sudah tidak lagi berkesan bukan saja dalam pilihan raya yang baru lalu tetapi sudah ada tanda-tandanya sejak sebelum itu, kata Exco Penerangan Pemuda Umno yang baru dilantik selepas PRU14 itu.

“Umno perlu benar-benar mengisi perjuangan dengan lebih subtantif. Maknanya tidak lagi semata-mata bercakap bahawa kitalah parti yang mempertahankan artikel 153. Itu sudah wajib.

“Ternyata dalam PRU14 dan PRU3 juga ada trend menunjukkan rakyat tidak lagi mengundi berasaskan itu (hak Melayu). Mereka sudah percaya bahawa perkara 153 hak Melayu ini, InsyaAllah akan dipertahankan,” kata Shahril, kepada Malaysia Decides.

Dalam PRU14, Umno menang 54 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang ditandinginya di seluruh negara kecuali di Sarawak. Ini adalah pencapaian terburuk parti tunjang Barisan Nasional itu sejak pilihan raya umum 1969.

Pada PRU13, Umno menguasai 88 kerusi Parlimen.

Selain hilang Putrajaya, BN juga terlepas semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dan Pahang. Sarawak tidak mengadakan pilihan raya negeri kerana mandatnya masih ada sehingga 2021.

Menurut Shahril, 32, Umno dan BN perlu satu formula baharu untuk memikat undi semua lapisan rakyat.

“Untuk menang undi, perlu lebih lagi itu. Apakah agenda untuk membangunkan orang Melayu. Agenda untuk membangunkan masyarakat luar bandar tanpa mengira kaum.

“Bukan hanya bercakap tentang sentimen ataupun retorik politik yang nampak sedap waktu kita ceramah tetapi pengisiannya kita boleh persoalkan,” katanya.

Umno juga tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada undi di luar bandar kalau mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang, kata Shahril, yang kalah di Parlimen Kuala Langat.

“Kita perlu ada satu strategi untuk mendapat sokongan demografi yang lebih meluas.

“Selama ini mungkin kita selesa dengan Melayu luar bandar, sekarang ini orang Melayu  bandar pun sudah kurang sokongannya.

“Orang Melayu bandar pun sudah kecil sokongannya, apatah lagi yang bukan Melayu,” katanya.

Kebanyakan 54 kerusi yang dimenangi oleh Umno itu terletak di Perak, Pahang, Johor dan Sabah.

Mengulas landskap baru selepas PRU14, Shahril yang sebelum ini memegang portfolio profesional muda dalam sayap pemuda Umno berkata, Umno perlu jadi pembangkang yang kuat dan “bukan hanya sekadar membangkang” untuk memastikan kerajaan Pakatan Harapan telus.

Umno juga tidak boleh menganggap keadaan selesa dan melakukan perubahan sedikit demi sedikit, katanya, mengulas peralihan kepimpinan yang akan disahkan dalam pemilihan parti Jun ini.

“Umno perlu berubah secara besar-besaran. Saya mahu satu transformasi besar-besaran,” katanya.– 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen