PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman yang kini dicari oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sudah meninggalkan Malaysia, lapor The Star.
Akhbar itu bercakap dengan bekas rakan dan pegawai khas kepada bekas ketua menteri Sabah itu yang tidak dapat mendedahkan di mana Musa berada.
Musa dikehendaki oleh polis untuk merekodkan keterangan berhubung dakwaan mengugut Yang Dipertua Sabah Juhar Mahiruddin.
Bagaimanapun, ada yang percaya beliau ke Brunei dan kemudian Singapura untuk ke London.
Sumber SPRM turut memberitahu akhbar itu bahawa agensi berkenaan mendapati Musa sudah ke luar negara sebelum mereka memohon supaya beliau dihalang meninggalkan negara.
“Polis Sabah hanya dapat kata Musa tiada di negeri itu.
“Difahamkan pegawai anti rasuah pergi ke dua rumah di Kota Kinabalu dan Sandakan milik Musa untuk menjalankan pemeriksaan. Namun, kedua-dua rumah itu tidak ada penghuni pada masa itu,” kata laporan itu.
Pemeriksaan di rumah Musa juga terhalang kerana peguamnya enggan bekerjasama, kata sumber.
SPRM menyiasat Musa atas dakwaan membeli Adun selepas PRU14.
Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei selepas mendapat majoriti mudah sehari selepas 9 Mei, hari membuang undi. Namun, kurang 48 jam selepas itu, enam Adun BN beralih ke Warisan.
Pada 12 Mei, Presiden Warisan Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri dan yang dipertua negeri menarik semula pelantikan Musa keesokan harinya. – 26 Mei, 2018.
Komen