PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan 20 tahun pertamanya sebagai perdana menteri keempat agak mudah berbanding tugasan hari ini untuk menyelamatkan negara daripada kemusnahan kewangan.
Perdana menteri ketujuh Malaysia itu yang terpaksa menamatkan persaraannya untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) mencipta kemenangan pada PRU14, berkata pentadbiran terdahulu mengumpul hutang terlalu besar selain mencemarkan reputasi negara di peringat antarabangsa dengan rasuah.
“Tempoh 20 tahun pertama saya sebagai perdana menteri agak mudah. Saya warisi sistem yang sedia ada. Apa yang saya perlu lakukan ialah perkenalkan idea baharu jadi kita dapat mempercepat pertumbuhan dan pembangunan Malaysia.
“Tetapi sekarang saya mengendalikan negara yang sebenarnya musnah. Kewangannya musnah. Sistem kerajaan diabaikan dan tidak digunakan dan sistem baharu atau sistem autoritarian diperkenalkan,” katanya dalam satu temu bual dengan VOA.
Kerajaan PH kini memastikan bekas perdana menteri Najib Razak disiasat kerana kesalahan pengubahan wang haram dalam kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Syarikat pelaburan diilhamkan oleh Najib itu mengumpul berbilion dolar hutang sejak penubuhannya pada 2009.
Selepas beberapa hari menyerbu rumah Najib dan premis yang dikaitkan dengannya, polis menemui RM114 juta wang tunai, ratusan beg tangan berjenama mewah, barang kemas dan barangan mewah lain.
Minggu ini, Najib ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak dua kali untuk menjawab soalan berkaitan kes SRC International.
Beliau dituduh atas kesalahan rasuah dan salah laku lain berkaitan dengan 1MDB, di mana SRC International sebelum ini anak syarikat itu.
“Kerajaan terdahulu mengumpul hutang besar akibat membuat pinjaman dari negara lain, dari bank luar negara, dan juga sumber tempatan.
“Jadi perkara pertama kita perlu lakukan sudah tentu untuk memastikan kita dapat membayar pinjaman itu, sekurang-kurangnya mengurangkan bayaran prinsipal yang dipinjam,” kata Dr Mahathir.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan negara ini berhutang sebanyak RM1 trilion termasuk hutang rasmi kerajaan RM686.8 bilion, jaminan kerajaan RM199.1 bilion dan projek kerjasama awam-swasta RM201.4 bilion. – 26 Mei, 2018.
Komen