Aktivis muda Malaysia kempen kutip sumbangan bayar hutang kerajaan


The Malaysian Insight

BIMBANG dengan berita tentang hutang negara mencecah RM1 trilion, rakyat Malaysia kini memulakan gerakan untuk membantu mengurangkan jumlah pinjaman besar itu.

Kempen mengumpul dana dimulakan oleh aktivis Nik Shazarina Bakti untuk mendapatkan sumbangan yang akan disalurkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi membantu membayar semula pinjaman kerajaan.

Pada masa berita ini disiarkan, kempen “Please Help Malaysia” di laman web GoGetFunding https://gogetfunding.com/please-help-malaysia/ sudah menarik 74 penyokong dan mengumpul AS$2,605.

Kempen itu yang akan berlangsung hingga 31 Julai menyasarkan untuk mengumpul AS$100,000.

Dalam mesejnya di laman kempen itu, Nik Shazarina berkata tentang situasi hampir serupa antara kegembiraan rakyat Malaysia dengan perubahan bersejarah dalam kerajaan dengan keterujaan nenek moyang terdahulu ketika mendapat kemerdekaan daripada British.

“Rakyat Malaysia yang dikasihi, ingatkah anda ketika itu bila nenek moyang kita serahkan barang kemas, wang dan barangan berharga mereka supaya Tunku dan kerajaan pada masa itu dapat dana yang mencukupi untuk ke London dan menuntut Merdeka?”

“Mari kita lakukannya sekali lagi!” tulisnya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan negara ini berhutang sebanyak RM1 trilion yang diwarisi daripada pentadbiran Barisan Nasional yang ditewaskan oleh PH menerusi PRU14.

Hutang terkumpul itu termasuk hutang rasmi kerajaan RM686.8 bilion, jaminan kerajaan RM199.1 bilion dan projek kerjasama awam-swasta RM201.4 bilion. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen