17,000 penjawat awam kontrak bukan kroni, kata Zahid


The Malaysian Insight

KHIDMAT 17,000 penjawat awam yang didakwa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai lantikan politik diambil bekerja dengan persetujuan dan rujukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kata bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah, ada antaranya yang menerima gaji mengikut Gred 17, kata Zahid yang turut menolak dakwaan PH bahawa mereka kroni menteri dan ketua jabatan tertentu.

“Dakwaan bahawa mereka menjadi kroni menteri tidak benar kerana mereka hanya dilantik dengan persetujuan dan rujukan SPA yang menentukan tangga gaji sesuai dengan jawatan dan kelayakan disandang.

“Kebanyakan mereka ini pemudah cara kementerian dan jabatan tertentu serta tidak menerima faedah secara menyeluruh dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosialnya semalam.

Zahid yang pada masa ini naib presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, mengulas tindakan kerajaan untuk membuang 17,000 penjawat awam yang dikatakan lantikan politik di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata penjawat awam bergaji rendah dan memegang jawatan seperti pemandu, kakitangan rendah tidak akan terbabit, tetapi kontrak mereka akan ditamatkan dulu sebelum kontrak baharu dibuat.

Zahid berkata apa yang menimpa penjawat awam terbabit sekarang mencerminkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap perkara ini, apatah lagi jika ditamatkan serta-merta ketika sedang bersiap sedia menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Umno bimbang cubaan kerajaan PH untuk memberi gambaran tidak betul bahawa hutang kerajaan lebih tinggi dari yang dilaporkan dulu akan digunakan sebagai alasan untuk memecat lebih banyak penjawat awam dalam masa terdekat.

“Jangan jadikan mereka sebagai sasaran mainan dan agenda politik. Mereka adalah rakyat yang memerlukan pembelaan dan mereka juga adalah pengundi kita,” katanya. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen