BEKAS menteri kewangan Anwar Ibrahim berkata untuk mengubah negara, beliau mungkin akan memotong lebih 10% daripada gaji menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, memotong gaji menteri amat perlu untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat.
“Kita perlu mengubah paradigma sekarang. Kita tidak boleh jadi hanya sedikit saja lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). Kita perlu berubah.
“Itu sebabnya kenapa gaji semua menteri dipotong 10%. Nasib baik, perdana menteri ialah Dr Mahathir Mohamad. Kalau saya, saya potong lebih lagi,” katanya di program ceramah di SP Arena, Seberang Jaya, Pulau Pinang malam tadi.
“Saya tidak bergurau. Jika hendak jaga rakyat, maka potong gaji, potong pembaziran, cari cara untuk pastikan sesen pun tidak dibelanjakan tanpa keperluan, pulangkan wang kepada rakyat dan potong cukai.”
Pada Rabu, Dr Mahathir mengumumkan semua menteri dalam Kabinetnya menerima potongan 10% gaji untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Katanya, penjawat awam kanan yang menerima gaji lebih tinggi daripada menteri juga dialu-alukan menyertai pemotongan gaji itu.
Kerajaan PH yang terbentuk selepas gabungan diketuai Dr Mahathir itu menyingkirkan BN daripada pemerintahan 61 tahun di Malaysia, dan kini dalam misi “membersihkan” pentadbiran persekutuan dan mengurangkan perbelanjaan.
Anwar, yang menjadi menteri kewangan dari 1991 hingga 1998, berkata ekonomi Malaysia perlukan perubahan struktur.
Katanya, memahami pertumbuhan perlu diorientasikan semula untuk menyelesaikan masalah ketidaksamaan, jurang antara kaya dan miskin, miskin bandar dan masalah dihadapi golongan kelas pertengahan.
Katanya, cukai perlu direndahkan dan pelan ekonomi mesti memberi manfaat kepada semua rakyat, tanpa mengira bangsa. – 26 Mei, 2018.
Komen