WALAUPUN pilihan raya umum lalu menyaksikan pengundi mengutamakan isu tadbir urus, namun faktor bangsa dan agama masih memainkan peranan, kata Presiden International Movement for a Just World Dr Chandra Muzaffar.
“Pada 2008, kaum India dan Cina memberi sokongan kuat kepada pembangkang. Ia berterusan pada 2013 di mana sentimen anti Barisan Nasional (BN) berterusan,” katanya.
Chandra berkata kaum Cina dan India merasakan mereka warganegara kelas kedua dan Umno menjadi punca kesengsaraan mereka.
Katanya, walaupun susah hendak melihat Cina menjadi masyarakat yang terpinggir, namun politik perkauman memberi kesan terhadap keputusan itu.
Sama juga dengan kejayaan parti Islam PAS dalam PRU14 apabila menang 18 kerusi Parlimen, kata pemimpin PKR itu pada forum anjuran Institut Penyelidikan Pengurusan dan Inovasi, Fakulti Undang-undang dan Persatuan Staf Akademik UM.
Chandra berkata jumlah keseluruhan undi PAS menunjukkan bahawa agama masih faktor penting.
“Bila orang Melayu raya tertipu dengan Umno, mereka pilih parti yang boleh buat mereka rasa selesa secara emosi dan psikologi.
“Jika Umno tidak pulih, pertarungan pada PRU15 nanti ialah antara PH dan PAS. Dan ia cabaran sukar untuk semua orang. Agama membawa sentimen tertentu yang boleh mengatasi parti politik,” katanya.
Adun Layang-layang dari Umno, Onn Hafiz Ghazi bersetuju dengan Chandra.
“Kita mungkin mahu lari dari politik berasaskan kaum tetapi Pakatan Harapan sendiri pun semuanya parti berasaskan kaum,” katanya.
Onn berkata Amanah dan Bersatu untuk segmen Melayu Islam sementara DAP kebanyakannya Cina.
“Onn Jaafar mencadangkan Umno dibuka untuk kaum lain, dan akibatnya beliau ditendang keluar dari Umno. Jadi sama ada Umno boleh jadi terbuka untuk semua, terpulang kepada ahlinya,” katanya.
Exco Selangor Dr Siti Maria Mahmoud berkata salah satu sebab PAS meninggalkan gabungan Pakatan Rakyat pada 2015 ialah kerana ia hilang sokongan pengundi Melayu.
“PAS selama ini mahu menggantikan Umno sebagai parti dominan Melayu dan apabila bersama DAP, rasanya seperti meracun mereka.
“Pada masa itu, orang Melayu dalam dilema dan bimbang yang perlembagaan akan dipinda jika pembangkang menang.
“Mereka lebih sanggup bertahan dengan pemimpin rasuah daripada hilang kuasa agama,” kata pemimpin Amanah itu.
Speaker lain pada forum itu ialah pensyarah ekonomi UM Dr Edmund Terence Gomez dan pensyarah undang-undang UM Dr Azmi Sharom. – 26 Mei, 2018.
Komen