“USAHA” memecat Menteri Besar Perlis Azlan Man dari Umno tidak wajar berlaku, kata naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein yang memangku tugas timbalan presiden.
Katanya, pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri juga tiada kuasa untuk memecat ahli kerana kuasa itu hanya ada pada Majlis Tertinggi selepas kes dibawa ke lembaga disiplin parti.
“Seharusnya perkara seperti ini tidak boleh berlaku,” kata Hishammuddin, dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi, yang jelas ditujukan kepada ketua Umno Perlis, Shahidan Kassim.
“Setiap pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik untuk memenangi dan meyakinkan hati rakyat,” katanya.
Hishammuddin berkata rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan Umno yang kini masih dalam proses pemulihan selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Rakyat memberikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksanakan dengan penuh amanah,” katanya.
Pada PRU14, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri sementara PKR menang 3 kerusi dan PAS 2 kerusi.
Shahidan, yang juga pengerusi BN Perlis mencadangkan adiknya, Ismail yang terpilih wakil rakyat Tambun Tualang sebagai calon menteri besar, tetapi ditolak oleh istana.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebaliknya melantik Azlan sebagai menteri besar. Azlan mengangkat sumpah dalam satu majlis di Istana Arau pada Khamis tetapi tidak dihadiri sembilan Adun BN yang lain.
Pada sebelah petang hari sama, Shahidan dan sembilan Adun itu mengadakan sidang media mengumumkan “pemecatan” Azlan dari Umno. Shahidan juga meminta Raja Perlis tidak campur tangan dalam pemilihan calon yang sudah ditentukan oleh parti.
Hishammuddin berkata keputusan Raja Perlis itu semestinya sudah mengambil kira pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat negeri.
“Keputusan ini harus kita hormati,” katanya.
Azlan, yang menjadi menteri besar untuk penggal kedua, memulakan tugas di pejabatnya semalam. Dalam kenyataan ringkas kepada media, beliau berkata, sekarang “masa untuk mulakan kerja, tiada lagi drama” dan beliau mahu “kerja lebih, cakap kurang”. – 26 Mei, 2018.
Komen