JIKA mengikut kehendak rakan-rakan dalam partinya, Adly Zahari sebagai ketua menteri Melaka sepatutnya menampilkan imej agama, namun bekas jurutera Malaysia International Shipping Cooporation (MISC) itu tidak bersetuju.
Bagi beliau, sebagai ketua menteri sebuah negeri pelancongan dengan rakyatnya yang berbilang kaum, imej pedulikan rakyat lebih sesuai.
Adly mahu jadi ketua menteri untuk semua rakyat Melaka.
“Berdasarkan pandangan sesetengah pihak, mereka mahu saya baca khutbah Jumaat, mengimamkan solat dan seumpamanya.
“Namun saya fikir, apa yang lebih perlu saya buat untuk Melaka adalah mendekati rakyat dan memastikan mereka terbela,” katanya kepada Malaysia Decides.
Dengan kefahaman itulah, hampir setiap hari, antara program Adly adalah berjumpa dengan orang ramai dan menyelami masalah mereka.
Adly, 47, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei lalu di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob di Ayer Keroh, dua hari selepas Pakatan Harapan (PH) merampas pentadbiran negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).
PH berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka melalui majoriti mudah apabila menang 15 kerusi DUN Melaka daripada keseluruhan 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
PH turut memenangi empat daripada enam kerusi Parlimen iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.
Pada PRU14, Adly mengalahkan calon BN, Yunus Hitam dan calon PAS, Muhamat Puhat Bedol dengan majoriti 3,159 undi dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Bukit Katil.
Sebelum ini, Adly seorang ahli perniagaan selepas berhenti dari MISC pada 2005. Beliau membuka sebuah stesen minyak di Negeri Sembilan, negeri yang berjiran dengan Melaka.
Kerjaya pertama Adly selepas mendapat Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ialah jurutera di Universiti Multimedia iaitu antara 1997 hingga 2000.
Adly mula aktif politik sejak di kampus lagi apabila beliau memberikan sokongan kepada PAS.
Beliau ialah pesuruhjaya PAS Melaka dari 2011 hingga 2015 dan terkenal rapat dengan Mohamad Sabu, iaitu presiden Amanah sekarang, sejak Mohamad bersama-sama memimpin PAS lagi.
Apabila Mohamad dan kumpulan profesional tersingkir dari PAS pada 2015, Adly turut meninggalkan PAS untuk menyertai Amanah dan dilantik sebagai pengerusi Amanah Melaka hinggalah sekarang.
Ketika Adly mengangkat sumpah, Mohamad yang kini menteri pertahanan antara tetamu yang hadir meraikan hari penting buat Adly itu. – 26 Mei, 2018.
Komen