Dari jalanan ke Kementerian Pertahanan, Mat Sabu belajar terima perubahan


The Malaysian Insight

KEPADA warga Kementerian Pertahanan, Mohamad Sabu yang jadi menteri baharu mereka dianggap sebagai pejuang kerana sudah melalui ranjau dan liku perjuangan walaupun pelantikannya ke jawatan kanan itu diragui oleh sesetengah orang.

Begitu kagumnya mereka dengan presiden Amanah itu, anggota tentera darat, laut dan udara yang menyambutnya dalam majlis pengagihan bubur lambuk di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, Khamis lalu malah sampai melanggar protokol.

Mereka berswafoto (selfie) dengan menteri, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata seorang warga Kementah.

“Saya sudah lama di sini, belum pernah saya dilihat menteri disambut sebegini rupa. Seolah-olah seperti seorang artis. Apa pun orang nak kata tentang Mat Sabu, kami anggap beliau sebagai pejuang.

“Ini cara kami sambut pejuang, Mat Sabu sudah lama berjuang. Kami gembira kerajaan BN yang sombong tumbang pada PRU14,” kata anggota itu, dengan syarat tidak dinamakan.

Selepas dinamakan sebagai menteri pertahanan pada 13 Mei lalu oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Mohamad jadi bahan senda di media sosial. Beliau bagaimanapun menerimanya dengan rasa lucu, menganggap sebagai “gurauan para peminat”.

Mohamad, atau lebih dikenali Mat Sabu, mula berjinak dengan politik apabila menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia pada 1975. Enam tahun kemudian, beliau masuk PAS sehingga jawatan terakhirnya sebagai timbalan presiden.

Seorang yang tegas dan berprinsip, Mohamad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) – kali pertama antara 1984 hingga 1986, semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri sebelum ini. Tidak lama selepas bebas, beliau ditahan sekali lagi antara 1987 hingga 1989.

Ketegasannya enggan tunduk kepada pimpinan yang dilihat salah menyebabkan PAS berpecah sehingga tertubuhnya Amanah, serpihan yang dianggap “parti nyamuk” oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan dihina sebagai “parti dua peratus” oleh sekumpulan pemimpin PKR sebelum PRU14 lalu.

Walaupun baru berumur dua tahun, Mohamad membuktikan Amanah parti yang berwibawa. Dalam PRU14, ia menang 10 kerusi Parlimen hasil kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).

Dalam kerajaan PH yang dibentuk selepas pilihan raya, tiga pemimpin Amanah dilantik menganggotai Kabinet Dr Mahathir termasuk portfolio pertanian dan kesihatan. Pemimpin Amanah juga menerajui negeri yang dimenangi PH sebagai ketua menteri dan anggota majlis mesyuarat negeri.

Kerana itulah, tidak salah apabila orang menganggap Mohamad sebagai pejuang – pejuang yang berjaya.

Hidup baru Mat Sabu

Sejak jadi menteri, hidup Mohamad berubah tetapi beliau tidak terfikir mahu mengubah gaya hidupnya. Beliau masih ingin duduk berbual dengan rakan-rakan di warung, di Brickfields.

“Saya mahu kekalkan hidup saya seperti itu,” katanya, yang menyebut beliau akan terus hidup dengan “gaya Mat Sabu” pada hari pertama melapor diri ke Kementah, Selasa lalu.

Ditanya apa maksudnya “gaya Mat Sabu”, Mohamad berkata ia merujuk kepada kehidupannya selama ini senang bergaul dengan pelbagai golongan dan boleh berada di pelbagai tempat.

“Ikut protokol di pejabat tetapi pergaulan saya dengan orang ramai macam biasa.

“Saya suka berada di mana-mana tempat, saya boleh minum di hotel lima bintang dan saya boleh minum di warung-warung.

“Tetapi sebenarnya lebih kerap saya minum di warung-warung berbanding dengan hotel lima bintang,” katanya.

Tetapi tugas dan tanggungjawabnya kini tidak sama lagi.

Pada hari ketiga jadi menteri, Mohamad menerima kunjungan Duta Amerika Syarikat, Kamala Shirin Lakhdir. Minggu ini juga, beliau bertemu dengan pesuruhjaya tinggi United Kingdom ke Malaysia.

“Dulu kita ambil tanggungjawab membela rakyat dan menentang segala bentuk penyelewengan dan kezaliman. Sekarang kita melaksanakan tanggungjawab itu.

“Kita cuba laksanakan apa yang kita kritik dulu, terutama dari sudut, melawan segala bentuk rasuah dan penyelewengan.

“Dan menjaga kebajikan kepada tentera, bekas tentera dan pegawai kerajaan,” katanya tenang, dalam bilik menteri yang pernah diduduki bekas menteri Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein.

Mohamad berkata di Malaysia hari ini, hanya segelintir pihak yang menguasai kekayaan negara tetapi majoriti rakyat masih hidup dalam kesusahan.

“Berleluasa golongan elit pemerintah menguasai kekayaan negara. Ini mestilah dihentikan dan ini tugas saya,” katanya.

Mohamad cukup sedar hidupnya sudah dan sedang berubah. Beliau sudah tidak punya banyak masa bergaul dengan jiran-jirannya di kawasan perumahan teres setingkat di Shah Alam.

Tidak lama lagi, beliau harus berpindah ke kawasan perumahan lain supaya tidak menyusahkan jiran-jirannya yang terpaksa berdepan anggota keselamatan yang mengiringinya ke sana ke sini. Rumah itu pula akan lebih besar sedikit, untuk keselesaan tetamu yang akan datang.

“Saya rasa perubahan itu, rakan-rakan akan rasa secara ketara tentang itu. Perubahan itu ada,” katanya. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen