Dakwaan MoF terpaksa ‘bail out’ 1MDB tak tepat, kata Najib


The Malaysian Insight

NAJIB Razak sekali lagi menegur Lim Guan Eng, dengan berkata yang menteri kewangan itu harus memberikan fakta jelas mengenai pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM7 bilion yang menurutnya bukan satu bentuk “bailout”.

Dalam hantaran kedua di akaun Facebok miliknya, bekas perdana menteri itu berkata dakwaan Lim bahawa Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah Nasional Berhad dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu “bailout” 1MDB adalah mengelirukan.

“Bukan sahaja ia mengelirukan, ia percubaan bermotifkan politik untuk menutup fakta,” kata Najib dalam hantaran tersebut.  

Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya 9 Mei, memenangi hanya 78 kerusi Parlimen dan menguasai hanya dua negeri - Pahang dan Perlis. Sarawak adalah negeri yang dikuasainya pada Pilihan Raya Negeri 2016.

Perdana menteri keenam itu kini sedang disiasat berhubung dakwaan salah laku selepas wang tunai berjumlah RM114 juta dalam 26 matawang asing dan 37 bagasi mengandungi barang kemas serta 284 kotak mengandungi beg tangan berjenama dengan 150 beg lain dirampas dari tiga kondominium mewah Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Najib memetik cadangan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung 1MDB bahawa semua aset hartanah berharga dan strategik milik firma itu dipindahkan ke firma lain yang dimiliki MoF Diperbadankan (MoF Inc).

“Untuk tempoh jangka masa panjang, nilai aset hartanah utama ini boleh mencecah sehingga RM30 bilion,” tambahnya.

Bekas presiden Umno itu menyatakan walaupun MoF Inc mengambil alih aset berkenaan, hutang atau liabiliti 1MDB kekal ditanggung firma terbabit.

“Sewajarnya, aturannya, seperti yang saya dapat sahkan, adalah MoF membayar hutang 1MDB, tetapi sebagai balasan mengambil alih aset terbabit.

“Dengan cara lain, jika aset itu kekal dalam 1MDB, ia boleh dibangunkan dan 1MDB boleh menjual asetnya sendiri, dan menggunakan hasil itu untuk membayar hutangnya,” kata Najib, yang merupakan ahli Parlimen Pekan.

Beliau menegaskan, MoF boleh menggunakan pelbagai kaedah, termasuk penjualan tanah (contohnya kepada Bank Negara Malaysia) atau dengan memungut pembayaran hutang (contohnya dari Khazanah).

“Tidak ada yang salah dengan urus niaga itu, kerana setiap satu telah diluluskan mengikut rangka kerja tadbir urus yang berkaitan, dijalankan secara ‘setaraf’ dan mengikut undang-undang dan prosedur yang betul.

“Oleh itu, persoalan MoF atau BNM atau Khazanah yang menyelamatkan 1MDB tidak timbul sama sekali. Adalah mengelirukan untuk membuat tuduhan sedemikian .. MoF Inc mengambil alih aset dan ia mesti bertanggungjawab terhadap liabiliti - itu satu-satunya cara yang betul, mengikut undang-undang dan ‘accounting-wise’,“kata Najib.

Beliau menegaskan adalah salah untuk menteri kewangan “hanya membangkitkan hutang 1MDB”.

“Sebetulnya, menteri kewangan juga perlu memaklumkan kepada orang ramai tentang aset 1MDB yang telah diambil alih.

“Menteri kewangan mesti ‘cakap serupa bikin’, dia harus telus untuk menceritakan kisah sepenuhnya dan bukan memberitahu hanya separuh cerita untuk menipu,” kata Najib, yang juga bekas menteri kewangan dan bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB.  – 25 Mei, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen