PEMIMPIN akar umbi Umno yang kontroversi, Jamal Yunos hilang dari hospital di Ampang, Selangor tempat beliau ditahan polis sejak Selasa, sebelum selesai diikat jamin selepas menghadapi tuduhan jenayah hari ini.
Polis percaya ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu melarikan diri.
Kehilangan Jamal disedari oleh penolong pendaftar Mahkamah Shah Alam, Rahasbiah Abdul Rahman yang datang ke hospital itu pukul 5.30 petang tadi untuk melengkapkan urusan ikat jaminnya.
Kehilangan Jamal disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmad.
“Jamal telah dituduh sebanyak tiga pertuduhan hari ini di Hospital Ampang Puteri.
“Beliau akan dihubungi semula untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Jurucakap polis Ampang Jaya berkata polis menahan seorang lelaki yang ada di hospital itu, dipercayai peguam Jamal.
Malaysia Decides cuba menghubungi Jamal serta pembantu-pembantunya sejak petang tadi namun tidak berhasil.
Selasa lalu, Jamal yang sedang menjalani rawatan di hospital swasta itu kerana sakit belakang ditahan polis untuk siasatan mengikut Akta Senjata Api 1960 kerana menunjuk-nunjukkan pistolnya kepada umum.
Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor berkata pihaknya masih ada dua lagi waran tangkap ke atas Jamal, yang akan disiasat selepas selesai menjalani rawatannya.
Jamal hari ini tuduh di hospital itu atas tuduhan bersabit tindakannya memecahkan botol minuman keras di luar Bangunan SUK Selangor di Shah Alam tahun lalu, yang menempatkan pejabat Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, ketika itu.
Jamal tidak mengaku bersalah.
Polis kemudian melancarkan Ops Tutup bermula lebih kurang pukul 8 malam tadi bagi mengesan beliau. – 25 Mei, 2018.
Komen