Umno harus beri laluan kepada Khairy untuk ubah parti


The Malaysian Insight

UMNO seharusnya memberikan laluan kepada golongan muda untuk mengambil alih tampuk kepimpinan sekali gus melakukan reformasi dalam parti, kata pemimpin akar umbi.

Mereka berkata, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dilihat sebagai tokoh yang sesuai untuk membersihkan parti sekali gus memastikannya bersiap sedia untuk pilihan raya umum lima tahun lagi.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Cheras Johari Yazid berkata Khairy merupakan seorang pemimpin yang berkarisma dan mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi.

“Tetapi secara jujurnya, sukar untuk KJ (Khairy Jamaluddin) memimpin Umno selagi ada warlord Umno yang masih tak mahu juga bertanggungjawab atas kekalahan,” kata Johari kepada Malaysia Decides.

Johari berkata ahli Umno perlu lakukan gelombang besar-besaran untuk transformasi dan ubah “pemimpin-pemimpin warlord” yang sudah tepu pemikiran mereka.

“Ahli Umno perlu berani buat perubahan umpama keputusan PRU14. Gantikan mereka dengan pemimpin seperti KJ.

“Bukan bermaksud untuk ketepikan langsung pemimpin yang dah lama ni, tetapi perlu diperbanyakkan pemimpin muda bagi mengimbangi pemikiran tahap lama warlord Umno,” katanya.

Seorang lagi pemimpin akar umbi Umno berkata pemangku presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemangku timbalan presiden Hishammuddin Hussein perlu mengambil tanggungjawab bersama-sama seperti Najib Razak.

“Mereka gagal membantu Najib, mereka harus letak jawatan.

“Saya fikir Khairy orang yang terbaik untuk mengambil alih dan membersihkan Umno,” kata seorang pemimpin akar umbi Umno Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Zul kepada Malaysia Decides.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno kalah.

Ironinya, BN tewas di tangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun, dan pernah memimpin gabungan itu selama 22 tahun.

Disebabkan itu, Najib melepaskan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN. Zahid memangku tugas Najib manakala Hishammuddin pula memangku tugasnya.

Selepas kekalahan pada 9 Mei, Khairy mengajak rakan-rakan dalam parti itu agar membina semula Umno.

Tegasnya, Umno perlu melakukan perubahan dan tidak menangguhkannya lagi.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohamed Nazri Aziz memberikan sokongan secara terbukanya kepada Khairy untuk menjadi ketua pembangkang Parlimen.

Nazri berkata ketua Pemuda Umno itu berkebolehan untuk “memberikan nafas baru” kepada BN.

“Kita harus menyerahkan tampuk kepimpinan pembangkang kepada Khairy kerana kita perlu berikan nafas baru kepada BN.

“Saya akan berikan sokongan sebagai ahli Parlimen. Saya akan menentang apabila perlu dan berikan kritikan membina. Itu pendapat saya sebagai pembangkang,” kata Nazri seperti dilaporkan media.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Armand Azhar Abu Hanifa berkata buat masa ini lebih baik ketiga-tiga Zahid, Hishammuddin dan Khairy berganding bahu untuk membuat perubahan kepada Umno.

“Ini penting supaya Umno terus kekal relevan,” katanya.

Penganalisis Hisommudin Bakar dari Ilham Center berkata terdapat kebaikan dan keburukan sekiranya Khairy mengambil alih Umno.

“Baik sebab bagi lapisan Pemuda menerajui dan membuat proses rejuvenasi dalam Umno.

“Tidak baik sebab gaya kepimpinan KJ bukan kepimpinan secara kolektif. Lebih kepada pemusatan pada diri. KJ centric not Umno centric,” katanya.

Zahid pada Selasa berkata, semua jawatan yang dinyatakan dalam perlembagaan Umno akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang termasuk presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

Pemangku presiden Umno itu berkata parti Melayu itu perlukan transformasi maka tidak timbul soal tidak mempertandingkan jawatan tertentu seperti didakwa sebelum ini.

Sementara itu, bekas exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam berkata jika parti itu mahu melakukan pemilihan bagi setiap jawatan, biarlah ia berlaku dalam semangat kekeluargaan.

“Orang yang menang, harus beri tempat kepada orang yang kalah. Kita tidak mahu Umno menjadi semakin mengecil. Sekarang Umno sudah jadi semakin kecil lepas kalah PRU14.

“Saya bimbang sekiranya pimpinan Umno masih bersikap seperti dulu dengan meminggirkan yang kalah, ramai ahli Umno akan melompat menyertai Bersatu,” katanya kepada Malaysia Decides. – 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen