Sokonglah Azlan Man sebagai MB, kata SUK Perlis


The Malaysian Insight

SEMUA sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang membantah pelantikan Azlan Man sebagai menteri besar Perlis perlu meletakkan kepentingan negeri jauh mengatasi kepentingan apa pun selain daripadanya, kata Setiausaha Kerajaan Perlis, Dr Syed Omar Syarifuddin Syed Ihsan.

Katanya, itulah perkara yang terbaik dan wajar mereka lakukan selepas Azlan disahkan sebagai menteri besar.

“Perkara terbaik dan wajar dilakukan oleh sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Arau semalam ialah kembali bersatu dan menyokong Azlan sebagai menteri besar.

“Saya hendak nasihatkan merekapun susah tetapi eloklah diutamakan kepentingan negeri ini,” katanya seperti dipetik Bernama.

Pelantikan itu juga sah mengikut undang-undang tubuh negeri walaupun tidak dapat sokongan majoriti sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri BN, katanya lagi seperti dipetik Utusan Online.

Azlan hari ini masuk ke pejabatnya untuk memulakan tugas dan dipetik berkata sekarang “masa untuk mulakan kerja, tiada lagi drama” dan beliau mahu “kerja lebih, cakap kurang.”

Syed Omar juga dipetik oleh Bernama berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Azlan mengenai urusan pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Isnin ini. Jemaah exco itu dijangka akan dilantik selepas kemelut sekarang reda, lapor Utusan.

“Apa yang penting sekarang ini, menteri besar sudah dilantik dan pelantikan itu adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya juga berharap semua pihak dapat menghormati keputusan dan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya.

Semalam, Azlan, 60, mengangkat sumpah sebagai menteri besar di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau di Arau.

Majlis berlangsung tanpa kehadiran 9 ADUN BN yang lain, yang berhimpun di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan Raja Perlis menzahirkan rasa murkanya.

Tidak sampai tiga jam selepas majlis angkat sumpah di Arau itu, Shahidan mengumumkan cadangan Umno Perlis supaya Azlan, ADUN Bintong, dipecat dari parti dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen