Pakatan harus kerja keras, elak boros, rasuah, kata Anwar


The Malaysian Insight

KITA sudah menang; tidak perlu lagi menyerang pihak lawan, kata Anwar Ibrahim.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu berkata gabungan pemerintah itu harus menumpukan agenda mensejahterakan rakyat dan tidak mengulangi kesilapan sama yang menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN).

“Elak kegiatan boros, rasuah… semua perkara yang kita kritik sebelum ini.  

“Ini adalah tugas kita dan rakyat senantiasa memerhatikan kita sekarang,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Yayasan An Nahdhoh di Permatang Pauh pada petang hari ini.

Anwar turut mengingatkan PH untuk menunaikan komitmennya terhadap rakyat.  

“Transformasi ini fenomenal dan sistemik. Sekarang kita melihat media yang lebih bebas dan masyarakat semakin kritikal.

“Suasana sekarang tidak seperti apa yang berlaku pada rejim terdahulu, semuanya dikawal. Kami kini dipantau dengan teliti.”

Walaupun kerajaan baharu harus terus bekerja dan tidak berdendam, kata Anwar ia tidak bermaksud pentadbiran kini harus menutup sebelah mata terhadap kesalahan yang melanggar undang-undang.

“Kalau orang dah ambil ratusan juta, takkan kita nak lepaskan?

“Kita harus hormat kedaulatan undang-undang, bukan buat sesuka hati. Dendam itu penyakit hati,” katanya.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan pengubahan wang haram berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad.

Selepas beberapa hari membuat serbuan di kediaman peribadi dan premis berkaitan beliau, polis menjumpai wang tunai berjumlah RM114 juta, beratus-ratus beg tangan berjenama, barang kemas, dan barangan mewah lain.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimana perasaan pulang ke Permatang Pauh untuk pertama kali setelah dibebaskan, Anwar berkata beliau sangat gembira dapat berjumpa teman lama dan penyokong setia.

Beliau berkata kasih sayang dan sokongan rakyat di kerusi Parlimen yang dipegangnya dari 1982 hingga 1999, dan sekali lagi dari 2008 hingga 2015 kekal utuh.

“Hadirin amat luar biasa. Saya sangat bersyukur,” katanya, sambil menambah yang beliau bersyukur kerana rakyat menyokong calon PH di Permatang Pauh dalam PRU14.

Ahli Parlimen Permatang Pauh baharu adalah anak perempuannya Nurul Izzah Anwar. Ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Permatang Pauh - Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir - turut dimenangi PH.

Mengenai bilakah beliau akan kembali semula untuk sambutan Hari Raya bulan depan, Anwar menjawab secara berseloroh: “Saya akan pulang tapi perlu tengok jadual timbalan perdana menteri. Saya perlu ikut jadual beliau.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah isteri beliau. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen