Musa perlu beri kerjasama kepada polis, kata pemimpin Warisan 


The Malaysian Insight

NAIB presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong menggesa pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman untuk beri kerjasama kepada pihak berkuasa, dan berkata beliau tidak perlu takut sekiranya tidak melanggar undang-undang.

Polis kini giat mengesan Musa untuk diambil keterangan berhubung laporan terhadapnya berkenaan ugutan jenayah oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 19 Mei.

Musa menafikan dakwaan itu menerusi satu kenyataan yang dibuat melalui peguamnya Zahir Shah, semalam.

“Kenyataan oleh peguam Musa itu adalah berat sebelah.

“Hanya mahkamah yang boleh membebaskan beliau daripada sebarang dakwaan. Baik Musa mahupun Zahir tiada kuasa untuk membuktikan tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong yang juga menteri industri makanan dan pertanian Sabah sedia maklum bahawa Yang Dipertua Negeri merupakan individu yang dihormati dan tidak akan menbuat laporan polis terhadap Musa sekiranya tiada sebarang elemen ancaman berlaku pada malam Musa mengangkat sumpah pada 10 Mei lalu.

Katanya tindakan peguam Musa itu adalah salah kerana cuba mengelirukan rakyat Sabah dengan mengeluarkan kenyataan bagi pihak Muda, dan menambah sebagai seseorang yang tahu undang-undang, beliau sepatunya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan tugas mereka, tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Musa menerima jawatan ketua menteri pada 10 Mei selepas mendapat majoriti mudah, namun hilang majoriti dalam tempoh 48 jam selepas enam Adun daripada BN menyatakan sokongan mereka kepada Parti Warisan Sabah.

Pada 12 Mei, presiden Warisan Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri dan hari berikutnya pihak istana secara rasmi menghantar pembatalan pelantikan Musa melalui pembantunya di Kota Kinabalu. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen