Pakatan disoal tentang kuota wanita, berbilang portfolio dipegang KM, MB


The Malaysian Insight

DALAM suasana perbincangan yang lebih terbuka, seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) berdepan dua soalan sukar dalam satu forum di Universiti Malaya (UM) petang ini.

Ketika sesi soal jawab, dua pelajar UM bertanya kepada exco Selangor Dr Siti Mariah Mahmud tentang berbilang portfolio yang dipegang ketua menteri dan kuota 30% wanita sebagai pembuat keputusan.

“Terdapat perancangan untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan lebih ramai wakil rakyat wanita dilantik. Mungkin terdapat Adun tanpa kawasan. Tapi kami perlukan masa,” kata Dr Siti Mariah dalam forum bertajuk “Towards a new progressive Malaysia Post GE14?” di UM.

Beliau berkata sistem pemenang undi terbanyak (first-pas-the-post) yang digunakan pakai sekarang tidak membolehkan lebih ramai calon wanita dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya memandangkan parti perlu memilih calon mampu menang.

“Lebih ramai wanita boleh dilibatkan namun mereka mungkin tidak diterima oleh pengundi (bergantung kepada kawasan) atau akar umbi parti,” jelasnya.

Hanya terdapat dua wakil wanita daripada 10 exco yang dilantik dalam kerajaan negeri Selangor, manakala Pulau Pinang hanya mempunyai satu. Terdapat tiga menteri wanita dalam Kabinet Persekutuan yang terdiri daripada 14 jemaah menteri.

PH sebelum ini berjanji untuk menetapkan kuota 30% wanita sebagai pembuat keputusan.

Mengenai persoalan tentang berbilang portfolio yang dipegang ketua menteri atau menteri besar, beliau berkata dasar larangan terhadap amalan tersebut hanya terpakai kepada perdana menteri.

“Manifesto tersebut hanya menyatakan yang perdana menteri tidak seharusnya memegang jawatan perdana menteri atau portfolio lain. Pentadbiran negeri tidak termasuk.

“Mungkin, kami boleh masukkan perkara ini dalam manifesto seterusnya. Kebanyakan negeri mempunyai berbilang portfolio,” tambahnya.

Selain menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut memegang portfolio hal ehwal tanah dan pembangunan tanah, pengangkutan dan penerangan. Di Selangor, Azmin Ali adalah menteri besar yang turut bertanggungjawab dalam kewangan, hal ehwal tanah dan penerangan.

Seorang lagi panelis, Prof Edmund Terrence Gomez berkata dasar yang melarang perdana menteri memegang lebih daripada satu jawatan harus terpakai kepada semua.

“Ini harus diperluaskan kepada negeri lain kerana portfolio hal ehwal tanah memberi kuasa yang besar kepada ketua menteri atau menteri besar. Isu tanah membuka ruang kepada berlakunya rasuah,” kata Prof Gomez.

Turut menjadi panelis dalam forum berkenaan adalah Presiden International Movement for a Just World Chandra Muzaffar, Adun Layang-layang Onn Hafiz Ghazi dan pensyarah undang-undang UM Azmi Sharom.

Forum berkenaan dianjurkan oleh Institut Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Undang-undang dan Persatuan Kakitangan Akademik UM. Sesi berkenaan dikendalikan Prof Mohd Hazim Shah Abdul Murad. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen