BEKAS perdana menteri Najib Razak mendakwa, jumlah hutang yang ditanggung kerajaan semasa pentadbirannya jauh lebih rendah berbanding ketika pentadbiran pertama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Beliau berkata demikian dengan menyebut angka RM686.8 bilion hutang rasmi kerajaan yang membentuk 50.8 peratus dari keluaran negara kasar.
“(Jumlah ini) bukanlah RM1 trilion seperti didakwa sebelum ini. Kadar 50.8 peratus itu jauh lebih rendah daripada 103.4 peratus yang dicapai ketika pemerintahan pertama Tun Mahathir,” kata Najib dalam tulisan di Facebook.
Angka RM686.8 bilion itu dijelaskan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam sebagai hutang kerajaan persekutuan.
Lim menegaskan bahawa hutang yang ditanggung negara pada masa ini mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus daripada KDNK kerana mengambil kira hutang jaminan kerajaan dalam entiti yang tidak mampu membayar hutang.
Namun menurut Najib, kerajaan sebelum ini, seperti juga ketika pentadbiran Dr Mahathir, tidak pernah mengambil kira angka hutang jaminan kerajaan seperti itu.
“Kerajaan sentiasa patuh kepada garis panduan antarabangsa ke atas pelaporan hutang awam seperti ditakrif IMF (International Monetary Fund) dan Bank Dunia.
“Maka, angka 50.8 peratus itu merupakan sukatan yang diterima secara universal,” kata Najib lagi.
Lim semalam berkata tanggungan hutang itu termasuk jaminan ke atas entiti 1MDB yang dianggarkan berjumlah RM38 bilion, Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion) dan Malaysia Rail-link Sdn Bhd (RM14.5 bilion).
Namun Najib berkata bayaran pajakan untuk perkongsian sektor awam dan swasta tersebut adalah perbelanjaan operasi dan bukannya hutang kerana ia bertujuan untuk membina infrastruktur sosial termasuk sekolah balai polis dan hospital.
Najib turut memberi amaran agar kerajaan berhati-hati mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan fiskal negara kerana akan memberi kesan besar kepada pasaran modal.
Sekarang memandangkan kebenaran mengenai ‘hutang RM1 trilion’ ini sudah tersingkap, kami mengucap tahniah kepada kerajaan persekutuan kerana memomokkan pasaran saham yang menyebabkan pasaran saham menjunam minggu ini,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, kejatuhan pasaran saham itu juga memberi kerugian besar kepada syarikat berkaitan kerajaan termasuk KWSP, KWAP, Khazanah dan Tabung Haji yang melabur dalam pasaran saham. – 25 Mei, 2018.
Komen