Keluarga besar Raja Perlis minta Shahidan sembah ampun


The Malaysian Insight

KELUARGA besar Istana Arau mendesak Shahidan Kassim meminta maaf kepada Raja Perlis kerana dianggap menderhaka terhadap titah Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Bernama.

Wakil keluarga Jamalullail, Syed Zolkifli Syed Abdul Rahman Jamalullail berkata sembah maaf itu susulan tindakan Shahidan dan sembilan wakil rakyat Barisan Nasional memulau majlis angkat sumpah menteri besar di Istana Arau semalam.

Semalam, Azlan Man mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau untuk jadi menteri besar bagi penggal kedua, tanpa kehadiran 9 Adun BN yang lain, yang berhimpun di Kuala Lumpur.

“Mereka perlu memohon maaf kerana baginda pasti berasa tersinggung, tidak sedap hati serta menimbulkan ketidak senangan hati di kalangan semua rakyat Perlis,” kata Syed Zolkifli, seperti dipetik Bernama.

Syed Zolkifli hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, termasuk berhubung kenyataan Shahidan di Kuala Lumpur meminta Raja Perlis tidak campur tangan dalam menentukan calon menteri besar pilihan BN.

Pada PRU14, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri dengan PKR menang 3 kerusi dan PAS 2 kerusi. 

Menurut Syed Zolkifli, tindakan Shahidan dan sembilan Adun itu melibatkan maruah Tuanku dan seluruh keluarganya.

“Mereka harus memohon maaf secara terbuka kepada Raja Perlis dan menghormati institusi diRaja,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Sementara itu, Adun Kuala Perlis, Nor Azam Karap dari PKR turut membuat laporan polis yang sama meminta siasatan dijalankan terhadap Shahidan kerana mengeluarkan kenyataan menghina terhadap Raja Perlis.

“Saya mewakili orang ramai berasa tidak puas hati dengan tindakan Shahidan dan meminta agar pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya, selepas menyertai perhimpunan orang ramai di perkarangan sebuah masjid di Kuala Perlis untuk menyatakan sokongan kepada istana. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen