Kerajaan Negeri Sembilan tubuh badan pemikir kaji masalah rakyat


The Malaysian Insight

KERAJAAN Negeri Sembilan pimpinan Pakatan Harapan mendirikan sebuah badan pemikir yang diberi tugas mengenal pasti masalah rakyat dan penyelesaiannya, lapor Bernama.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, badan dikenali Institut Darul Khusus itu akan dianggotai pakar pelbagai bidang.

“Kita nak lihat apa yang sebenarnya berlaku di Negeri Sembilan ini yang mana akan dapat mengenalpasti punca utama yang dihadapi oleh rakyat yang harus kita tunaikan dahulu.

“Ini penting supaya kita dapat respon kepada rakyat segera. Kita tidak hendak dapat maklumat lewat sehingga menggagalkan pentadbiran negeri,” katanya, seperti dipetik Bernama.

IDK juga akan meneliti respons rakyat kepada semua aktiviti kerajaan negeri, tambahnya.

Jelas Aminuddin, idea penubuhan badan pemikir itu melihat kepada kejayaan badan seumpamanya seperti Institut Darul Ehsan (IDE) di Selangor dan Penang Institute di Pulau Pinang.

“Jadi, ini yang kita hendak buat…mengenalpasti apa sebenarnya keperluan rakyat dan apabila kita tahu, baharulah kita akan buat dengan satu program yang memberi kesan cukup besar kepada rakyat.

“Apabila kita mampu buat ini, ia akan sampai betul-betul ke akar umbi,” katanya.

Aminuddin juga berkata program kerajaan negeri tidak harus jadi program syok sendiri sebaliknya program yang mengikut kehendak rakyat.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri akan memberi peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang mulai tahun depan kerana peruntukan tahun ini sudah habis.

Aminuddin juga memberitahu semua lantikan politik ahli majlis kerajaan tempatan akan ditamatkan mulai Julai ini.– 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen