Sejauh mana SPR serius mainkan watak pengadil pilihan raya?


Mandeep Singh

PADA 23 dan 24 Ogos 2016, wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghadiri konvensyen “Asian Electoral Stakeholder Forum III” yang berlangsung di Kuta, Bali.

Konvensyen tersebut dihadiri oleh suruhanjaya pilihan raya dari negara Asean, kumpulan pemantau pilihan raya bebas serta kumpulan masyarakat sivil yang mana juga dihadiri oleh wakil Bersih 2.0.

Konvensyen dua hari itu berakhir dengan penghasilan sebuah deklarasi penting oleh kesemua delegasi yang menghadiri majlis tersebut.

Walaupun hadir sama pada konvensyen itu, saya tidak pasti sama ada deklarasi dua helai itu dibaca dan difahami pengerusi SPR dan keseluruh anggota Ahli Jawatankuasa SPR.

Ingin saya membawa SPR untuk melihat kembali tiga daripada lapan intipati deklarasi tersebut.

Perkara pertama yang terkandung di dalam deklarasi tersebut adalah ketelusan badan pengendali pilihan raya, yang mana di Malaysia adalah SPR. Ia tertulis perlu ada undang-undang atau prosedur jelas untuk perlantikan anggota badan pengendali pilihan raya dan rakyat harus dibenarkan memantau segala operasi badan ini daripada kesemua aspek.

Perkara kedua adalah mengenai ketelusan pendaftaran mengundi yang mana menyebut senarai pengundi harus diselenggara, dikemaskini, disemak dan mesti dibuka untuk pemerhatian atau semakan oleh orang ramai dengan cara yang mudah. Malah, ia itu menyebut jika berlaku sebarang keraguan atau kecuaian dalam senarai daftar pemilih, maka ia harus diperbetulkan serta-merta.

Perkara ketiga adalah pemantauan pilihan raya oleh kumpulan pemantauan domestik dan antarabangsa. Dengan jelas ia mengatakan proses ini harus diberi kebebasan untuk melakukan pemantauan dalam semua aspek dan bahagian proses pilihan raya.

Melihat kepada tiga daripada lapan perkara dalam deklarasi ini sudah jelas menunjukkan SPR melanggar apa yang dipersetujui oleh mereka konvensyen terbuka ini.

Pelantikan SPR di dalam negara kita tidak dijalankan secara terbuka malah tanpa pengetahuan badan NGO apatah lagi masyarakat secara umum.

Pelantikan ahli SPR dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang pula dinasihati perdana menteri. Di manakah penglibatan orang ramai?

Apabila kita bercakap mengenai isu pendaftaran pemilih, adalah jauh daripada apa yang dinyatakan di dalam deklarasi.

Hari ini di Malaysia, senarai pengundi tidak lagi boleh didapati mereka yang punyai kepentingan di dalam pilihan raya. Senarai pengundi tidak diedar atau dikongsi melalui digital kepada mana-mana pihak. Parti politik kini harus membawa mesin fotokopi ke pejabat SPR untuk membuat salinan senarai pengundi untuk mengetahui pengundi baru kawasan mereka.

Bukan itu sahaja, malah proses pendaftaran seorang pengundi baru mengambil masa tiga hingga enam bulan. Malah, untuk menukar kawasan pengundian, ia juga mengambil masa tiga hingga enam bulan. Tidak perlulah saya menceritakan tentang kehilangan nama pengundi dari daftar pemilih dan mengenai nama orang yang sudah mati yang masih berada di dalam daftar pemilih.

Kebebasan pihak badan bebas memantau pilihan raya di Malaysia juga adalah satu lagi perkara yang serba kekurangan. Kali terakhir badan bebas seperti Komenwel memantau pilihan raya di Malaysia adalah pada 1990 iaitu 27 tahun yang lalu.

Selepas itu, hanya SPR sahaja yang tahu negara atau badan manakah yang memantau pilihan raya di Malaysia. Bagi pemantau domestik pula, SPR memilih menghalang kumpulan badan reformasi pilihan raya seperti Bersih 2.0 untuk melakukan pemantauan. Malah, pada PRU13 yang lalu Bersih 2.0 dituduh sebagai kumpulan pengacau dalam proses pilihan raya.

Myanmar pada pilihan raya 2015, walaupun ketika itu diketuai jeneral tentera, membenarkan pemantauan pilihan raya daripada organisai yang bebas seperti ANFREL dan Carter Center. Kedua-dua organisasi ini menjalankan misi pemantauan pilihan raya sepanjang tiga bulan tanpa sebarang halangan daripada badan pengendali pilihan raya Myanmar.

Sama seperti Thailand, badan pemantau pilihan raya dibenarkan memantau proses referendum yang berlangsung tahun lalu. Badan bebas domestik dilantik melalui proses yang adil untuk memantau proses referendum tersebut.

Dalam konvensyen tersebut di Bali, dengan jelas dan nyata diperkatakan badan pengendali pilihan raya dan badan masyarakat sivil berazam untuk bekerjasama meningkatkan integriti pilihan raya di negara masing-masing untuk melaksanakan deklarasi yang dipersetujui itu.

Tetapi, hari ini kita melihat SPR berdegil untuk berjumpa dan berbicara dengan badan reformasi sistem pilihan raya di Malaysia, dan ini adalah bertentangan dengan apa yang dipersetujui mereka sendiri semasa konvensyen Bali.

Mungkin sudah tibanya masa SPR meletakkan cermin di hadapan muka mereka untuk melihat sendiri apa yang sedang dilalukan mereka untuk memastikan ketelusan sistem pilihan raya di Malaysia.

Pesuruhjaya SPR juga harus membuat keputusan samada mereka mahu menjadi pengadil sebuah perlawanan, atau menjadi pemain di dalam sebuah perlawanan. – 14 Jun, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • SPR dah menjalankan tugas dengan baik. Tetapi yang menghuru-harakan situasi ialah pembangkang yang selalu mainkan pemikiran rakyat untuk memilih mereka dengan cara yang tidak betul

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Khan sarip · Ulasan