PAS Perlis teguh menyokong Raja Perlis dan membidas sikap angkuh ketua Umno negeri, Shahidan Kassim yang mempersoalkan keputusan istana melantik Azlan Man sebagai menteri besar, lapor Bernama.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata Shahidan sudah membelakangi keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang sudah memberi perkenannya dalam isu pemilihan teraju negeri.
“PAS Perlis percaya bahawa kemelut ini boleh diselesaikan dengan baik, namun, jika Shahidan tetap dengan keputusannya, maka PAS Perlis bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri,” katanya, seperti dipetik Bernama.
PAS Perlis juga berharap kemelut itu akan diselesaikan dengan tepat dan adil, dan tiada mana-mana pihak melatah atau bersikap terburu-buru.
PAS menang dua daripada 15 kerusi di dewan undangan negeri pada PRU14, sementara BN menang 10 dan PKR menang 3 kerusi.
Semalam, Azlan mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau tanpa kehadiran 9 ADUN BN yang lain, yang sudah berhimpun di Kuala Lumpur.
Ketidakhadiran mereka pada istiadat angkat sumpah itu menyebabkan Raja Perlis menzahirkan rasa murkanya.
Tidak sampai tiga jam selepas majlis angkat sumpah di Arau itu, Shahidan mengumumkan cadangan Umno Perlis supaya Azlan, ADUN Bintong, dipecat dari parti dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.
Shahidan, selaku pengerusi BN Perlis, mencadangkan adiknya, Ismail sebagai calon menteri besar tetapi ditolak oleh istana.
Ismail malam tadi menarik diri daripada pencalonan itu dan berharap Raja Perlis akan melantik mana-mana ADUN BN yang lain, asalkan bukan Azlan untuk jadi menteri besar. – 25 Mei, 2018.
Komen