Nurul Izzah berjaya halang Dr Mahathir tinggalkan Pakatan tahun lalu


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad hampir meninggalkan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjaya menyelamatkan keadaan, dedah ahli strategi DAP Liew Chin Tong.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan PH membuat kejutan setelah pakatan yang diterajui pemimpin politik berusia 92 tahun itu mengalahkan rejim yang memerintah selama enam dekad.

Dalam wawancara bersama Oriental Daily News, Liew berkata Dr Mahathir sebelum ke London sempena Aidilfitri ada mengirim surat kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk membawa keluar parti itu daripada gabungan PH.

Pengerusi Biro Pendidikan Politik DAP itu berkata perkara itu terjadi susulan perbezaan pendapat berhubung struktur kepimpinan dalam PH dan kegagalan empat parti komponen gabungan itu mencapai kata sepakat.

Liew berkata Nurul Izzah kemudian bergegas ke London bertemu Dr Mahathir dan berjaya meyakinkan beliau untuk kekal dalam PH.

“Perjumpaan antara Nurul Izzah dan Dr Mahathir di London merupakan perjumpaan bersejarah yang mengubah keseluruhan situasi.

“Selepas perbincangan kepimpinan PH selesai, keseluruhan situasi politik berubah,” katanya kepada Oriental Daily News.

Tahun lalu, The Malaysian Insight melaporkan Nurul Izzah bertemu dengan Dr Mahathir di London untuk menyelesaikan kemelut struktur kepimpinan PH.

Ketika dihubungi Malaysia Decides, Nurul Izzah bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai pendedahan Liew itu.

“Biarlah perkara ini menjadi rahsia sisipan sejarah,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada Malaysia Decides.

Pertemuan Nurul Izzah bersama Dr Mahathir itu berlaku ketika PH tersekat untuk menamakan struktur kepimpinan.

Pada ketika itu, senarai pimpinan termasuk pengerusi dan presiden diperlukan untuk PH berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya boleh menggunakan satu logo dan bendera pada pilihan raya umum akan datang.

Tidak berapa lama selepas pertemuan Nurul Izzah dan Dr Mahathir di London, PH menamakan pengerusi Bersatu itu sebagai pengerusi gabungan itu.

Sementara Anwar Ibrahim dilantik sebagai ketua umum dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden PH. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen