Rakan kelas dakwa ada bersama pelajar yang dituduh curi iPhone 


The Malaysian Insight

RAKAN sekelas kepada M.Vasanthapiriya, murid SM Methodist Nibong Tebal yang cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya pada Januari berkata, dia berada bersama rakannya itu pada masa kecurian itu didakwa berlaku.

S. Tharsini, 14, berkata, dia dan Vasanthapiriya berada awal di sekolah pada 24 Januari untuk latihan sukan - dia tiba di sekolah jam 10 pagi dan rakannya 11 pagi.

Mereka mempunyai aktiviti di padang sekolah sehingga jam 12 tengah hari, sebelum kelas petang bermula pada 1.05 petang, katanya.

“Vasanthapiriya ada bersama saya ketika kami tukar uniform sekolah,” katanya pada inkues di mahkamah koroner di George Town, Pulau Pinang hari ini.

“Ya, kami bersama ke tandas sekolah pada jam 12.30 tengah hari sehingga kami berbaris di kawasan perhimpunan untuk ke kelas pada jam 1 petang,” katanya kepada timbalan pendakwa raya J.S. Kamini.

Tharsini juga berkata dia bersama Vasanthapiriya apabila difahamkan salah seorang gurunya kehilangan telefon bimbit, dan apabila guru disiplin memanggilnya untuk disoal pada jam 3.30 petang.

“Kami berada di makmal Sains apabila guru disiplin mahu bercakap dengan Vasanthapiriya di pejabat sekolah.”

Ditanya sama ada Vasanthapiriya ada bersamanya sepanjang tempoh dari jam 11 pagi hingga 3.30 petang pada hari kejadian, Tharsini berkata ya.

Vasanthapiriya didakwa mencuri telefon bimbit jenis iPhone di bilik guru sejurus selepas sesi petang persekolahan bermula.

Semalam, guru sesi pagi Zahratul Husna Zulkifli memberitahu mahkamah beliau ternampak pelajar perempuan berambut panjang memegang telefon pintar di meja milik guru yang kehilangan telefon berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga merakamkan seorang pelajar perempuan memasuki dan meninggalkan bilik guru antara 12.45 petang dan 1 petang.

Seorang lagi guru S. Paramasivam memberitahu mahkamah semalam bahawa Vasanthapiriya mengaku dia dan seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan Dua mengambil telefon itu selepas ditunjukkan rakaman CCTV.

Vasanthapiriya, 14, dilaporkan cuba membunuh diri dibilik tidurnya dengan pada malam insiden berkenaan, selepas guru yang kehilangan telefon itu menghantarnya pulang dan bercakap kepada bapanya.

Pelajar itu meninggal dunia seminggu kemudian di Hospital Seberang Jaya pada 1 Februari, hingga mencetuskan bantahan orang ramai.

Guru yang mendakwa kehilangan telefon itu kemudiannya ditukarkan daripada sekolah dan diberi tugas di pejabat pendidiakn daerah Seberang Prai Selatan. 
Beliau turut menerima kecaman selain ugutan bunuh.

Dua lagi adik beradik Vaasanthapiriya turut memberi keterangan hari ini. Kakaknya M. Himapria, 18, dan abangnya M. Meharaj, 16 berhubung insiden yang berlaku selepas dibawa pulang oleh guru sehinggalah dia ditemui mati di biliknya.

Mereka berkata, Vasanthapiriya, anak bongsu daripada empat adik beradik, menafikan mencuti telefon berkenaan, dan tiada siapa memarahinya berhubung insiden itu di rumah.

Meharaj berkata, ayahnya R, Muniandy, memberitahu guru berkenaan beliaau akan menyiasat dakwaan itu dan sanggup menggantikan telefon berkenaan, tidak kira sama ada Vasanthapiriya curi atau tidak.

“Guru berkenaan bersama suaminya kemudian meninggalkan rumah kami tidak lama selepas itu,” katanya.

Himapria dan Meharaj turut mengesahkan penemuan nita bunuh diri di dalam bilik oleh sepupunya selepas Vasanthapiriya dihantar ke hospital bahawa itu memang tulisan tangannya. Nota itu menyatakan tiada siapa yang bertanggungjawa atas kematian gadis berkenaan.

Inkues akan bersambung pada 4, 5 dan 6 Julai depan. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen