Jamal Yunos didakwa di hospital kes pecah botol bir


The Malaysian Insight

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos didakwa hari ini atas tuduhan mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Laporan Sinar Harian menyebut, tuduhan berhubung tindakannya memecahkan sejumlah botol kaca mengandungi bir di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan Selangor pada 5 Oktober tahun lalu.

Jamal, 48 dilaporkan bertindak demikian semasa mengetuai protes acara ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17).

Jamal dilaporkan mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan itu dibacakan ke atasnya oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Pertuduhan itu dilaporkan dijalankan ke atas Jamal ketika beliau berada di Wad Premier Hospital Ampang Puteri hari ini untuk menjalani rawatan kerana masalah sakit belakang.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dilaporkan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 8 Jun.

Jamal yang juga pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia diwakili peguam Mohd Nasir Yusof. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen