Azlan Man mula tugas MB Perlis


The Malaysian Insight

MENTERI Besar Perlis Azlan Man memulakan tugasnya hari ini walaupun tanpa pasukan dari Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri yang mempertikaikan pelantikannya.

Azlan tiba di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri di Kangar pada 10.10 pagi dan hanya membenarkan wartawan merakamkan fotonya masuk pejabat.

“Masa untuk mulakan kerja, tiada lagi drama. Ada perkara pentadbiran yang perlu diselesaikan, kerja lebih, cakap kurang,” katanya seperti dipetik Bernama.

Semalam, Azlan, 60, yang merupakan Adun Bintong mengangkat sumpah sebagai menteri besar di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau di Arau.

Majlis berlangsung tanpa kehadiran sembilan Adun BN lain, yang berhimpun di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan Raja Perlis menzahirkan rasa murkanya.

Tidak sampai tiga jam selepas majlis angkat sumpah di Arau itu, Shahidan mengumumkan cadangan Umno Perlis supaya Azlan dipecat daripada parti dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Pada PRU14, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri. Sementara PKR menang tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Sementara itu, polis Perlis bersiap sedia menghadapi kemungkinan luar jangka susulan kemelut pelantikan menteri besar Perlis, termasuk dengan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan Istana Arau.

Kenyataan Shahidan yang mempersoalkan keputusan Raja Perlis mengangkat Azlan sebagai menteri besar mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk komen-komen bersifat provokasi di media sosial.

Ketua Polis Perlis Azisman Alias meminta orang mengawal kelakuan dan tidak membuat komen jelik atau menghina raja dan institusi raja.

“Saya berharap biarlah isu kepimpinan dibincangkan oleh mereka yang terbabit, semoga isu ini diselesaikan dengan berhikmah dan tidak terpalit kepada masyarakat,” katanya. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen