AHMAD Shabery Cheek letak jawatan ketua Umno cawangan dan akan melepaskan jawatannya di bahagian, selepas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Shabery yang ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau letak jawatan untuk memberi laluan kepada golongan muda dan pelapis mengambil alih kepimpinan parti.
“Sekarang ini cawangan dahulu… peringkat bahagian saya akan atur selepas ini dan sebenarnya jawatan saya sebagai timbalan bahagian juga akan diambil alih orang lain,” kata bekas menteri pertanian dan asas tani itu, seperti dipetik Bernama.
Sementara itu, Astro Awani memetik Shabery berkata Umno mesti beri peluang kepada golongan muda untuk menerajui kepimpinan di kawasan.
Beliau menarik perhatian kebanyakan pemimpin Umno di peringkat akar umbi kini adalah orang yang sudah dua atau tiga dekad memegang jawatan itu, sehingga tidak dapat memahami kehendak generasi sekarang.
Pada PRU14, Shabery kalah kepada calon PAS Che Alias Hamid dengan majoriti 2,163 dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PKR Mohd Huzaifah Md Suhaimi yang memperolehi 12,911 undi.
Shabery mewakili Kemaman di Parlimen selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum 2004.
Jawatan beliau sebagai ketua Umno cawangan Gong Chengal dipangku timbalannya Mustaffa Ab Rahman. – 25 Mei, 2018.
Komen