Polis minta bantuan Hermes tentukan nilai beg dirampas


The Malaysian Insight

POLIS akan meminta bantuan syarikat barangan mewah, Hermes bagi menentukan nilai beg yang dirampas dari Pavilion Residen, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh.

Amar mengatakan polis akan menghantar gambar beg dirampas ke Paris.

“Ia untuk menentukan keaslian dan nilai beg itu,” katanya pada sidang media diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sebentar tadi.

Hermes Birkin adalah sebahagian besar daripada 434 beg yang dirampas dari dua unit kediaman mewah, Pavilion Residences di Jalan Raja Chulan minggu lepas berkaitan siasatan penyelewengan dana negara, 1MDB.

Menurut Amar, majoriti daripada beg tangan yang dirampas adalah buatan tangan daripada jenama Hermes.

Katanya lagi, polis turut akan memeriksa ketulenan barang kemas, jam tangan berjenama, dan barangan lain yang ditemui dalam 37 daripada 72 beg dan bagasi yang dirampas dari unit tidak berpenghuni di Pavilion Residence pada minggu depan.

“Penilai bebas akan dipanggil untuk membantu polis dalam mengesahkan ketulenan dan nilai barangan tersebut,” tambahnya.

Beliau enggan mengesahkan sama ada pihak polis turut menemui jongkong emas semasa melakukan penggeledahan.

“Sehingga seseorang membuktikan yang ia adalah emas, saya tidak boleh memberi komen,” katanya. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen