NASIHAT Amar Singh Ishar Singh kepada Umno yang mendakwa wang dirampas dari kondominium mewah di Pavilion Residens adalah milik parti itu hanya satu - tunggu semua siasatan selesai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial itu berkata demikian pada sidang media mengumumkan butiran rampasan dari premis yang dikaitkan dengan Najib Razak itu.
Beliau mendedahkan polis menemui RM114 juta wang tunai dalam 35 beg.
Amar berkata jumlah wang itu yang terdiri daripada 26 jenis mata wang, selain itu 37 beg mengandungi barangan kemas dan barang berharga lain turut ditemui walaupun nilainya masih dalam proses penilaian.
Awal hari ini, Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun memberitahu media yang terdapat prosedur tertentu perlu diikuti Umno untuk menuntut “wang mereka itu”.
“Kita perlu ikut undang-undang. Siasatan masih berjalan,” katanya selepas majlis penyerahan kuih raya kepada kontijen polis seluruh negara di Bukit Aman.
Umno mahu menuntut wang tunai yang dirampas polis ketika parti itu sedang mengalami pemindahan kuasa susulan peletakan jawatan Najib Razak sebagai presiden.
Amar berkata barangan rampasan dalam siasatan kes 1MDB disimpan dengan kawalan ketat di beberapa lokasi dan antaranya ialah peti simpanan di Bukit Aman, Kuala Lumpur yang hanya boleh dibuka menggunakan dua kunci yang perlu digunakan serentak.
“Peti itu tidak boleh dibuka dengan satu kunci saja dan dua individu ditugaskan menyimpannya dan satu ada pada saya. Peti simpanan satu lagi, kuncinya ada pada saya. Bagi duit yang selesai dikira ia disimpan di Bank Negara,” kata Amar. – 25 Mei, 2018.
Komen