POLIS berkata 150 beg tangan berjenama dan beberapa barangan lagi dirampas dari kediaman Nooryana Najwa, anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak dalam operasi polis menggeledah tiga unit kondominium Pavillion Residences, minggu lalu.
“Saya boleh sahkan 150 beg tangan berjenama dirampas dari sebuah unit di mana anak perempuan Najib tinggal. Kami juga merampas beberapa barangan lain dari unit itu.
“Saya juga boleh sahkan bahawa satu lagi unit ialah di mana anak lelaki Najib tinggal dan satu lagi unit tidak berpenghuni milik seorang Tan Sri,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Amar Singh Ishar Singh pada sidang akhbar hari ini.
Polis berkata 150 beg itu bukan sebahagian daripada 284 kotak beg tangan yang dirampas pada 18 Mei.
Bekas perdana menteri itu kini menjadi tumpuan siasatan polis sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
Pakatan pemerintah sebelum ini yang diketuai Najib tewas kepada PH yang diterajui Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan PH berazam untuk menyiasat kes 1MDB dan membawa siapa sahaja yang tertanggungjawab atas salah laku berkaitan syarikat pelaburan negara tu ke muka pengadilan.
Dr Mahathir sebelum ini menuduh Najib terlibat dalam skandal kewangan 1MDB. Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.
Selain polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut menyiasat Najib berhubung SRC International dan jumlah aliran wang yang besar ke dua akaun peribadi Najib.
SRC International sebelum ini merupakan sebuah unit di bawah 1MDB dan kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.– 25 Mei, 2018.
Komen