KASUT bayi yang dirampas dari kediaman anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak di Pavilion Residences pada malam 18 Mei lalu akan dikembalikan jika ada bukti menunjukkan ia dibeli menggunakan duit sendiri, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Amar Singh Ishar Singh.
“Pihak yang kena rampas boleh membuat representasi kepada kita, tunjukkan beli dengan wang mereka, bila siap kita boleh kembalikan, itu terpulang pada siasatan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK di Jalan Tun Razak pagi ini.
Dua hari selepas rampasan itu, Najib menerusi peguamnya pada masa itu, Harpal Singh Grewal mengeluarkan kenyataan yang beliau terkejut dan kecewa apabila barangan peribadi dan hadiah milik anaknya dirampas dari apartmen mereka.
Antara barangan yang dirampas ialah beberapa pasang kasut bayi dan pakaian yang dibelikan untuk cucu lelakinya.
Harpal berkata Najib juga kecewa kerana polis makan coklat yang ada di rumah anaknya dan turut meminta pembantu rumah memasak untuk mereka.
Amar berkata satu kenyataan sudah dibuat berkenaan perkara itu serta-merta selepas ia dibawa kepadanya.
“Saya minta peguam tampil, buat laporan polis dan beritahu kami siapa sebenarnya yang mengambil coklat itu dan kami akan siasat.
“Saya mahu tekankan sekali lagi bahawa ketika penggeledahan itu, saya maklumkan semua pegawai, saya beri amaran tegas jangan mengambil gambar, dan kami peru melakukan operasi itu dengan profesional kerana ia dijalankan di premis bekas perdana menteri dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata siasatan akan dijalankan jika peguam membuat laporan.
“Sila datang kepada kami, buat laporan dan beritahu saya siapa makan ambil coklat itu dan kami akan siasat,” katanya. – 25 Mei, 2018.
Komen