Shahidan kurang bijak apabila lawan Raja, kata Shafie Apdal


The Malaysian Insight

SHAHIDAN Kassim kurang bijak kerana mempersoalkan keputusan Raja Perlis melantik Azlan Man sebagai menteri besar negeri itu, kata Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

Katanya, Raja atau Yang di-Pertua Negeri ada hak yang mesti dihormati, termasuk kuasa melantik menteri besar atau ketua menteri.

Menurut Shafie, tindakan Shahidan mengetuai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis mempertikaikan keputusan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail itu sebagai “di luar norma”.

“Pada pandangan saya institusi diraja hendaklah dihormati. Shahidan patut menyelesaikan isu memilih menteri besar dengan bijaksana,” kata Shafie, seperti dipetik Bernama.

Semalam, Azlan mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau tanpa kehadiran 9 Adun BN yang lain, yang berhimpun di Kuala Lumpur.

Ketidakhadiran mereka pada istiadat angkat sumpah itu menyebabkan Raja Perlis menzahirkan rasa murkanya.

Tidak sampai tiga jam selepas majlis angkat sumpah di Arau itu, Shahidan mengumumkan cadangan Umno Perlis supaya Azlan, Adun Bintong, dipecat dari parti dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Shahidan juga meminta Raja Perlis untuk tidak campur tangan dalam pilihan BN negeri. Beliau juga meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah campur tangan menyelesaikan kedudukan kuasa lantikan menteri besar itu.

Pada PRU14, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri, PKR menang 3 kerusi dan PAS pula 2 kerusi.

Shahidan, selaku pengerusi BN Perlis, mencadangkan adiknya, Ismail sebagai calon menteri besar tetapi ditolak oleh istana.

Ismail malam tadi menarik diri daripada pencalonan itu dan berharap Raja Perlis akan melantik mana-mana Adun BN yang lain, asalkan bukan Azlan untuk jadi menteri besar.

Adun Tambun Tualang itu juga mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai kelemahan Azlan sehingga 9 Adun BN itu menolak kepimpinan beliau. Antaranya, beliau dikatakan tidak boleh ditegur, susah terima pendapat orang lain dan gagal berkhidmat di DUN Pauh pada penggal lepas.  – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen