POLIS hari ini berkata gambar dan laporan anggaran barangan yang dirampas dari sebuah kondominium yang kini menjadi tular di media sosial, tidak benar.
“Itu berita palsu,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh pada sidang media hari ini.
Beliau mengulas tentang laporan dan gambar yang menjadi tular selepas polis menyerbu sebuah unit kondominium di Pavilion Residences pada 18 Mei sebagai sebahagian siasatannya terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd.
Beliau berkata hanya pegawai kanan dibenarkan membawa telefon bimbit ketika operasi dijalankan, dan itu pun hanya untuk tujuan menghubunginya.
Amar berkata tiada pegawainya yang mengambil gambar dan kemudian menyebarkannya.
“Kami hanya ada seorang jurugambar rasmi dari unit kami yang bertugas pada masa itu,” kata Amar.
Dalam pada itu, Amar menolak dakwaan bahawa proses menggeledah di beberapa premis yang ada kaitan dengan Najib dilakukan tanpa mengikut undang-undang.
“Kami melakukan serbuan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Kes mengikut 409 Kanun Keseksaan adalah kesalahan boleh disita dan dirampas, oleh kerana itu kami ada kuasa mengikut Bab 13 Kanun Prosedur Jenayah. Tambahan pula, kami ada waran untuk menggeledah premis berkenaan jika ia didapati tidak berpenghuni. Oleh yang demikian, kuasa mengikut bab 13 dan waran menggeledah premis kosong ini membawa kepada penemuan barangan ini,” katanya pada sidang media.
Pada 18 Mei lalu, polis menyita 284 kotak mengandungi beg tangan berjenama dan 72 beg dan bagasi mengandungi barang kemas serta wang tunai dari pelbagai negara selepas melakukan serbuan di tiga unit kondominium mewah di Pavilion Residences di Jalan Raja Chulan.
Selain serbuan di premis tersebut, kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, bekas kediaman rasminya di Seri Perdana dan pejabat lama beliau di Jabatan Perdana Perdana Menteri antara yang turut diserbu.
Selain barangan yang dirampas di unit berkenaan, polis turut menyita 150 beg tangan termasuk jam tangan, kasut bayi dan barang kemas dari sebuah unit hartanah yang didiami anak perempuan Najib.
Beg tangan turut dirampas dari kediaman Najib di Langgak Duta termasuk wang tunai bernilai RM500,000 dan matawang asing. Turut dirampas adalah jam tangan berjenama dan lain-lain dokumen yang ada kaitan dengan siasatan 1MDB. – 25 Mei, 2018.
Komen