SEJUMLAH RM114 wang tunai dirampas dari kondominium mewah Pavilion Residences, dalam siasatan berkaitan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), kata polis.
Wang tunai itu terdiri daripada 26 matawang pelbagai negara, terutamanya Ringgit Malaysia dan Dolar Singapura.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Amar Singh Ishar Singh yang mengetuai serbuan ke tiga unit kediaman di kondominium itu berkata wang tunai berkenaan tersimpan dalam 35 daripada 72 beg yang dirampas.
Baki 37 beg lagi mengandungi barangan kemas dan jam tangan mewah, yang nilainya akan ditentukan oleh pakar mulai minggu depan, katanya.
Amar turut menjelaskan semua rampasan itu, termasuk 284 kotak berisi beg tangan mewah, ditemui dalam sebuah unit kondominium kosong daripada tiga unit yang diserbu.
Dua unit lagi dimiliki oleh anak lelaki dan perempuan bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor.
Amar turut mengesahkan pasukannya merampas 150 lagi beg tangan dari kediaman anak perempuan tersebut.
“Ini adalah rampasan yang pertama seumpamanya,” kata Amar dalam sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.
Proses mengira wang tunai yang dirampas itu mengambil masa tiga hari antara 21 hingga 23 Mei, dan dibantu 21 pegawai Bank Negara Malaysia dari Jabatan Urusan dan Pengurusan Mata Wang serta juruaudit dari Bank Islam Malaysia Berhad.
Kesemua wang tersebut kini disimpan di Bank Negara dan barangan kemas dan jam tangan itu pula disimpan di Bukit Aman, katanya.
Unit itu antara 12 premis yang termasuk dalam operasi polis sepanjang minggu lalu dalam siasatan berkaitan 1MDB.
Amar berkata kes itu disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan dan akan merekodkan kenyataan daripada anak-anak Najib iaitu Ashman dan Noryana. – 25 Mei, 2018.
Komen