PEGUAM mewakili Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman hari ini mengesahkan pegawai SPRM tidak merampas fail atau dokumen dari rumah bekas ketua menteri itu.
Dalam kenyataan hari ini, peguam Musa, Zahir Shah menjelaskan demikian selepas membuat pengesahan dengan SPRM.
“Kami mahu menyatakan yang walaupun SPRM melakukan serbuan, kami difahamkan oleh SPRM sendiri yang tidak ada rampasan berlaku iaitu tiada fail atau dokumen yang diambil.
“Kami juga difahamkan dan disahkan SPRM yang tiada serbuan atau rampasan berlaku selepas kejadian (serbuan pertama) itu. Kami menggesa media untuk mengesahkan fakta mereka sebelum menerbitkan berita mengenai anak guam kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berita diterbitkan pagi tadi mendakwa SPRM merampas dokumen dalam serbuan di rumah Musa.
Tidak dapat disahkan yang serbuan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan habuan RM20 juta diberikan kepada Presiden Star Dr Jeffrey Kitingan.
Jeffrey sudah disoal siasat SRPM pada 22 Mei lalu selepas tular berita yang dia membayar dua Adun Star di Sabah- Bingkor dan Tambunan- untuk memihak kepada Musa dan BN membolehkan BN mempunyai majoriti mudah 31 kerusi.
Tetapi, dalam tempoh kurang 48 jam enam Adun daripada Umno dan Upko berpaling tadah dan memberikan sokongan kepada Warisan diterajui Shafie Apdal yang kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri 12 Mei lepas.
Musa kemudian menyaman Yang Di-pertua Negeri Tun Juhar Mahirudidin dan Shafie kerana menganggap lantikan itu melanggar Perlembagaan Negeri. – 25 Mei, 2018.
Komen