POLIS Pulau Pinang diarahkan membanteras perjudian haram di negeri itu khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang, kerana bimbang akan ada ketua penjenayah yang memberikan sumbangan kepada parti politik.
Arahan itu diberikan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang berkata: “Saya bukan buat tuduhan, tetapi saya hanya bimbang perkara seperti itu akan berlaku”.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong baru-baru ini saling bertikam lidah di media berhubung aktiviti perjudian haram di negeri itu.
Wee berkata Pulau Pinang dan Selangor terbabit dalam aktiviti seperti itu, tetapi Lim menafikan perjudian haram menjadi masalah di negeri Pakatan Harapan itu.
“Saya mahu polis Pulau Pinang menggunakan undang-undang dan hapuskan perjudian haram di negeri ini. Ini arahan saya bermula hari ini,” kata Zahid pada majlis berbuka puasa di masjid daerah barat daya di Balik Pulau.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pembanterasan perjudian haram akan menjadi indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi polis Pulau Pinang.
“Saya tidak mahu dengar sebarang laporan membabitkan tauke judi terbesar di negeri ini. Saya akan ada di belakang dan membantu polis untuk hapuskan judi di Pulau Pinang,” katanya, menambah beliau berpuas hati dengan pencapaian polis di negeri itu di bawah kepimpinan ketuanya Chuah Ghee Lye.
Zahid berkata beliau juga tidak mahu jenis kesalahan tertentu dikaitkan dengan hanya satu kaum saja – seperti kesalahan dadah dikaitkan dengan orang Melayu, judi orang Cina dan gengster dikaitkan pada orang India.
Katanya, perjudian ialah masalah sosial dan beliau tidak mahu masyarakat Cina menjadi mangsa.
Baru-baru ini di Melaka, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan pegawai polis kanan kerana dikatakan mengambil wang perlindungan daripada pusat perjudian haram. Selepas gerakan besar-besaran itu, ramai pengusaha pusat judi melarikan diri keluar dari negeri itu.
Dalam ucapannya hari ini, Zahid berkata Pulau Pinang ialah destinasi terakhir baginya, pegawai kementerian dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar untuk Ramadan kali ini.
Beliau berkata program di Pulau Pinang paling ramai setakat ini dengan kira-kira 1,500 orang termasuk anak yatim yang menghadiri acara buka puasa.
“Kami sudah melawat banyak tempat, menyentuh pelbagai isu. Matlamat utama kami ialah perpaduan ummah, tetapi kami tidak menafikan rakan bangsa lain.
“Inilah keindahan Malaysia yang dikurniakan kepelbagaian yang mencipta perpaduan.
“Saya tidak mahu menjadikan ini acara politik. Tetapi apa yang hendak saya katakan ialah jika kita bekerjasama, perubahan drastik akan berlaku. Akan ada cahaya di hujung terowong,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Luar Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya, Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman dan Adun Pulau Betong Muhammad Farid Saad. – 13 Jun, 2017.
Komen