MASALAH perumahan polis dan kekurangan bajet untuk menyelia kemudahan lama polis antara isu yang akan dibangkitkan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dalam persidangan Parlimen akan datang.
“Saya akan kaji dan bangkitkan isu berkaitan pasukan polis bila Parlimen bersidang nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini mengatakan 50% daripada 2,492 unit Kenanga dan Cempaka Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan diberikan kepada anggota polis.
Itu adalah kali pertama kerajaan sebelum ini merancang menawarkan rumah mampu milik PPA1M kepada polis. Projek itu yang dibangunkan di Presint 19 Putrajaya dijangka disiapkan pada suku pertama 2021.
Dalam Bajet 2018 sebelum ini, bekas Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan 10,000 unit PPA1M akan ditawarkan kepada anggota polis.
Semalam, Yeoh mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) di IPD Sentul bagi memahami bidang kuasa dan mengeratkan kerjasama komuniti dengan penguatkuasa undang-undang.
“Pada pertemuan itu, saya berkongsi kebimbangan utama saya di Segambut iaitu keselamatan kejiranan dan jenayah melibatkan remaja.
“Saya percaya hubungan kukuh antara pasukan polis dan komuniti akan membolehkan masalah ini diatasi dengan berkesan,” katanya menambah yang beliau juga diberikan taklimat ringkas oleh polis mengenai jenayah di kawasan diwakilinya. – 25 Mei, 2018.
Komen