AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang berkata beliau sudah merayu kepada Raja Perlis agar tidak melantik beliau dan juga Adun Bintong Azlan Man sebagai menteri besar.
Ismail pada sidang medianya malam tadi turut mengemukakan jalan penyelesaian dengan mencadangkan lapan lagi nama Adun BN untuk dilantik sebagai jawatan tersebut.
“Kita merayu tuanku untuk memberi pertimbangan terakhir kepada kami semua, bukan Ismail Kassim bukan Azlan Man selain daripada itu, lapan daripada ini.
“Saya cadang lapan daripada kawan saya, tak ada masalah nak pimpin negeri, walaupun orang baru tapi asalkan bukan saya dan Azlan Man,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Sementara itu, peguam perlembagaan berpendapat, Raja Perlis tetap berhak melantik Azlan sebagai menteri besar jika wakil rakyat itu mendapat sokongan majoriti Adun pada hemat baginda.
Peguam perlembagaan, Dr Zulqarnain Lukman berkata tidak salah jika Raja Perlis melantik Azlan sebagai menteri besar kerana baginda sudah berjumpa dengan pemangku Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ini memandangkan, parti itu sudah mendapat majoriti kerusi dalam DUN.
“Perkara ini pernah berlaku di Perak pada 2008 apabila Sultan Perak melantik Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar selepas berjumpa dengan presiden Umno ketika itu Najib Razak,” kata Dr Zulqarnain.
Dr Zulkarnain berkata DUN juga perlu bersidang selepas 60 hari ia dibubarkan, sejak 7 April lalu.
“Oleh itu, sehingga DUN bersidang, menteri besar bolehlah berbincang dengan pihak yang berkaitan untuk mencukupkan bilangan sokongan kepadanya.
“Tempoh masa untuk melantik exco pula tidak dihadkan oleh undang-undang. Hanya yang perlu mengangkat sumpah segera adalah menteri besar,” katanya.
Selain melantik menteri besar, Sultan juga berhak membubarkan DUN, kata Dr Zulqarnain.
Pembubaran DUN itu pula akan menyebabkan satu pilihan raya negeri terpaksa diadakan semula.
Krisis ini timbul ekoran keputusan Ketua Perhubungan Umno Perlis Shahidan Kassim bersama sembilan wakil rakyat parti itu menolak pelantikan Azlan sebagai menteri besar.
Sembilan wakil rakyat Umno itu tidak hadir ke upacara angkat sumpah jawatan Azlan sebagai menteri besar di Istana Arau semalam. Sebaliknya mereka hadir ke sidang media bersama Shahidan di Kuala Lumpur.
Tindakan itu menimbulkan kemurkaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang tidak berkenan dengan calon pilihan Umno Perlis iaitu Ismail.
Baginda berkata tidak berkenan kepada Ismail, yang juga adik Shahidan kerana tidak mahu seorang menteri besar “boneka”.
BN memenangi 10 kerusi DUN Perlis dalam pilihan raya umum pada 9 Mei, dan selebihnya dimenangi PKR (tiga) manakala PAS (dua) daripada 15 kerusi kesemuanya. – 25 Mei, 2018.
Komen