Mansuh tidak apa, tetapi JKKKP harap nasib orang kampung terus terbela


The Malaysian Insight

APABILA Barisan Nasional gagal mengekalkan mandat di Putrajaya pada 9 Mei lalu, Makmur Abdul Talib tahu masanya sebagai orang penting di kampungnya di Bestari Jaya, Selangor hanya menunggu hari.

Hari itu tiba kelmarin, dua minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Selepas mesyuarat kabinet pada Rabu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan beberapa badan lain yang dilihat wujud lebih sebagai platform politik untuk BN dalam pentadbiran yang lalu.

“Saya tiada masalah dimansuhkan cuma saya kesian orang kampung yang perlu pembelaan. Kalau di bandar lain (keadaannya).

“Apalah nasib orang kampung kalau orang dilantik (kerajaan Pakatan Harapan) tak aktif nanti. Macam yang sekarang inilah, ketua kampung tak berfungsi,” kata Makmur kepada Malaysia Decides. 

Makmur, 61, seorang pesara merupakan wakil JKKKP sejak lima tahun lalu.

Di Kampung Bestari Jaya, kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur, Makmur jadi jambatan yang menghubungkan rakyat dengan pemerintah di bandar.

Dia memberi khidmat kepada hampir 2,000 penduduk di beberapa kampung di bawah tanggungjawabnya.

“Kalau ada banjir, kita turun bantu. Kalau ada kebakaran saya usahakan minta bantuan kerajaan. Kita tolong ikhlas,” katanya.

Anggota JKKKP dilantik oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Ia mempunyai peranan yang sama dengan ahli JKKK yang dilantik oleh kerajaan negeri. Di bawah kerajaan BN, JKKKP ini hanya wujud di negeri-negeri yang kerajaan negerinya bukan BN seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor pada penggal yang lepas.

Setiap unit JKKKP ini dianggotai antara 13 hingga 15 sukarelawan, lazimnya semua mereka ahli Umno, dengan pengerusinya menerima elaun RM900 sementara setiausaha RM400.

Dengan adanya JKKKP, dana peruntukan dari pusat disalurkan terus kepada mereka sekaligus memintas ketua kampung, untuk pelbagai aktiviti termasuk mengadakan sekurang-kurangnya enam majlis besar melibatkan akar umbi dengan pemimpin BN.

“Kami main peranan sampaikan maklumat kerajaan kepada orang kampung. Kami juga buat program perjumpaan seperti kenduri doa selamat. Kami hubungkan pemimpin kerajaan dengan orang kampung,” kata Mohd Samaon Sarif, 62, dari Kampung Ijok di Kuala Selangor, dan sudah lima tahun jadi ahli JKKKP.

Maklumat yang disampaikan adalah dasar-dasar kerajaan, termasuk menjelaskan misalnya tentang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Wawancara Malaysia Decides dengan beberapa ahli JKKKP semasa tempoh kempen PRU14 lalu mengesan penerangan mereka mengenai isu-isu semasa senada dengan ucapan pemimpin BN yang biasa dilaporkan di media arus perdana.

“Saya juga buat pengesahan tempat tinggal. Kalau ada orang nak minta surat sokongan permohonan biasiswa, saya akan tandatangan pengesahan,” katanya, yang menjaga 4,000 penduduk.

Untuk melaksanakan peranan mereka, setiap anggota JKKKP mengikuti seminar dan diberikan taklimat terutamanya tentang isu semasa.

“Dari situ kita dapat maklumat bagaimana nak beri penerangan pada orang kampung, untuk tangkis fitnah tentang GST misalnya. Kita terangkan kepada orang kampung di kedai-kedai kopi,” kata Samaon.

Semasa mengumumkan keputusan kabinet semalam, Dr Mahathir menyifatkan JKKKP seperti “kerajaan tambahan di negeri yang bukan ditadbir (parti) kerajaan persekutuan” dan peranannya boleh diambil alih pegawai kerajaan yang sedia ada.

Selain JKKKP, Dr Mahathir mengumumkan pembubaran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Majlis Profesor Negara (MPN) yang disifatkan sebagai platform bermotifkan politik untuk mendukung kerajaan BN sebelum ini.

Ia sebagai antara usaha pentadbiran Pakatan Harapan ini mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan mengawal ketirisan dana rakyat. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen