PEMBERI maklumat skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Xavier Justo menafikan beliau mencuri fail dan emel daripada bekas majikannya PetroSaudi International Ltd.
“Perkara paling penting ialah fail-fail itu, ia tidak dicuri, ia diberi kepada saya. Dan saya berikan ia tanpa sebarang modifikasi, diubah, ditambah atau dikurangkan.
“Ia fail asli daripada pelayar PetroSaudi, yang menceritakan tentang 1MDB dan PetroSaudi,” kata warganegara Switzerland berusia 52 tahun itu kepada The Star.
Katanya, pengakuannya ketika ditahan di Thailand dibuat dalam keadaan tertekan.
“Saya tidak ada pilihan dan kata: Ok beri saya pen dan kertas, dan beritahu apa yang kamu mahu saya tulis.
“Dan itu apa yang saya buat. jadi, saya kata saya muat turun data itu. Mereka suruh saya kata saya curi data itu. Tetapi saya tidak pernah curi,” katanya, menambah semua itu memberi gambaran bahawa dirinya dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown seperti orang jahat.
“Yang lain, semua syarikat dan pengurusan (PetroSaudi) jadi orang baik.
“Rundingannya ialah: Buat ini dan kamu akan keluar dalam enam bulan, atau tidak buat dan kamu dipenjarakan 10 tahun di Thailand,” katanya.
Justo, bekas pengarah di PetroSaudi International Ltd membocorkan dokumen yang dikatakan mempunyai bukti tentang peranan bekas perdana menteri Najib dalam menggelapkan wang dan pengubahan wang haram daripada 1MDB.
Ia menyebabkan beberapa negara melancarkan siasatan terhadap kes itu.
Beliau baru-baru ini dibebaskan dari penjara di Thailand, dan berkata beliau cuba membersihkan namanya selepas disabitkan bersalah memeras ugut PetroSaudi berhubung kaitannya dengan 1MDB.
Justo berkata beliau mahu bertemu dengan keluarganya semua.
“Ia umpama operasi survival untuk saya. Saya mengaku saja apa mereka minta. Tiada orang tahu bagaimana rasanya duduk di penjara Thai selama 18 bulan, kecuali mereka yang pernah masuk di situ. Anda akan buat apa saya asalkan dapat keluar.”
Justo berkata fail itu diberikan kepada Tong Kooi Ong dari The Edge Communications menerusi Rewcastle-Brown selepas yakin dengan keikhlasan mereka dan dorongan untuk mendedahkan skandal 1MDB.
“Mereka jelaskan kepada saya bagaimana mesin rasuah 1MDB bekerja. Pada awalnya, sudah tentu saya kata saya mahu wang. Saya boleh jual fail itu dengan harga mahal. Saya hanya mahu wang yang PetroSaudi hutang saya.
“Saya hanya mahu semua yang terbabit dari mula hingga akhir, dihukum atas jenayah mereka. Ia bukan saja tentang wang yang dicuri.
“Ya, ia sangat teruk kerana wang itu sepatutnya digunakan seperti untuk pendidikan kanak-kanak dan penjagaan kesihatan, bukannya untuk beg tangan mewah, bot, jet dan pelacur. Ini jenayah kewangan.
“Mereka juga buat lebih teruk daripada itu. Mereka bunuh orang. Mereka ugut orang. Mereka masukkan saya dalam penjara. Mereka ugut isteri saya dengan penahanan itu.
“Mereka beri amaran kepada isteri saya yang anak lelaki kami juga akan masuk rumah anak yatim di Thailand. Mereka perlu diberikan hukuman setimpal,” katanya.
Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat antara negara yang pada masa ini menjalankan siasatan kes pengubahan wang haram daripada 1MDB di negara masing-masing.
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mendakwa AS$4.5 bilion (RM20 bilion) diselewengkan oleh pegawai peringkat tertinggi 1MDB, termasuk “Malaysian Official 1” pada masa itu.
Bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang disiasat di Malaysia kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB, yang ditubuhkannya pada 2009 ketika mula menjadi perdana menteri. – 25 Mei, 2018.
Komen