ASAS ekonomi Malaysia masih kukuh dengan sektor perbankan dikapitalkan dengan baik dan kadar pinjaman bermasalah (NPL) masih rendah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.
Katanya lagi, Kementerian Kewangan (MoF) juga sudah mengambil langkah perlu bagi memastikan ketelusan ekonomi Malaysi dan perbelanjaan negara dipantau dengan bertanggungjawab, cekap dan telus.
“Asas ekonomi Malaysia masih kukuh. Jika kita lihat sektor perbankan kita yang masih kuat. Kapitalisasi tinggi dan NPL rendah,” kata Lim selepas perhimpunan kali pertama dengan kakitangan MoF selepas memegang jawatan menteri kewangan negara.
Menteri baru dilantik itu sebelum ini lantang bersuara mengenai tahap kewangan negara dan situasi sebenar 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tindakan yang dikatakan mempengaruhi index pasaran saham negara.
Mengenai kejatuhan pasaran saham, Lim mengatakan bukan hanya Malaysia yang terjejas, tetapi juga negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat juga mengalaminya.
“Saham juga jatuh di negara lain. Ada juga faktor antarabangsa lain (sehingga pasaran jatuh).
Lim juga memberikan jaminan yang MoF akan terus terbuka dan menerima kritikan mengenai prestasi buruk pasaran saham.
“Kita akan terus pantau (situasi). Kita juga tak akan sistem lama bila perbelanjaan disembunyikan. Ini tidak lagi akan berlaku.”
Lim mengatakan sebaik sahaja mereka berjaya memulihkan kewangan fiscal, Malaysia akan jadi lebih kukuh.
“Kita perlu jujur dan telus. Inilah harapan kita untuk masa depan yang lebih baik.” – 25 Mei, 2018.
Komen