Justo pembocor maklumat 1MDB dakwa kerajaan Najib penjarakannya


The Malaysian Insight

BEKAS eksekutif PetroSaudi, Xavier Justo mendakwa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bersubahat dalam penahanannya sehingga dihukum penjara tiga tahun di Thailand, selepas cubaannya untuk mendedahkan dokumen mengaitkan bekas perdana menteri Najib Razak dengan skandal berbilion dolar 1MDB.

Dalam temu bual dengan akhbar The Star, Justo berkata ketika berada di penjara, beliau dilawat oleh pegawai kerajaan Malaysia yang mahu mengekstradisinya ke Malaysia.

“Saya tidak melakukan jenayah, cubaan peras ugut dan mencuri data. Saya tidak buat. tetapi jika awak buat semua itu pun di Thailand, awak boleh keluar dengan ikat jamin. Ia hanya kesalahan kecil.

“Tetapi saya kena penjara tiga tahun. Secara kebetulannya, hari saya dijatuhi hukuman ialah Ogos 2015. Jika ditambah tiga tahun, ia Ogos 2018. Jadi saya diberitahu mereka mungkin mahu saya di penjara sehingga selepas pilihan raya,” katanya.

Justo yang membocorkan dokumen berkaitan 1MDB selepas meninggalkan PetroSaudi pada 2011, juga berkata dalam temu bual itu bahawa beliau bertemu Low Taek Who, yang lebih dikenali sebagai Jho Low sebanyak dua kali.

Katanya, dalam dua mesyuarat itu, Low mengadakan perbincangan tentang perkara berkaitan syarikat pelaburan negara itu dengan PetroSaudi International.

“Saya jumpa dia dua kali, saya sudah beritahu kepada pihak berkuasa Switzerland semua butirannya,” katanya kepada The Star.

Dokumen yang dibocorkan oleh Justo didakwa menawarkan bukti peranan Najib dalam menggelapkan wang dan pengubahan wang haram daripada 1MDB.

“Pegawai kanan PetroSaudi, Tarek Obaid dan Patrick Mahony ada akses kepada jumlah sebenar, tetapi saya tahu ketika itu ada sesuatu yang tidak kena.

“Ada komisen dalam perniagaan minyak. Itulah caranya dan tidak perlu hendak jadi naif. Perniagaan minyak bermaksud rasuah.

“Ia sesuatu untuk ambil 1% atau 5%, tetapi ada sesuatu yang lain ambil lebih 80% daripada jumlah dalam komisen. Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena, tetapi saya tidak menjangkakan sehingga ke tahap ini kegilaannya.”

Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat antara negara yang pada masa ini menjalankan siasatan kes pengubahan wang haram daripada 1MDB di negara masing-masing.

“Sukar untuk mempercayai betapa tamak, gilanya mereka ini. Mereka betul-betul fikir apa yang ada dalam bank pusat Malaysia adalah hak mereka,” kata Justo.

Justo, yang dua kali bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu berkata beliau cuba untuk membersihkan namanya selepas disabitkan bersalah melakukan peras ugut terhadap PetroSaudi berkenaan hubungannya dengan 1MDB.

“Saya tidak pernah disabitkan bersalah. Saya pegawai bank dan agak berjaya. Saya tidak perlukan semua ini, tetapi ia berlaku, jadi jika orang fikir saya jahat, biarlah,” katanya.

“Jika orang fikir saya hero, saya bukan hero. Hero sebenar ialah rakyat Malaysia.” – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen