Menteri pendidikan baru masuk kerja, tetapi cadangan sudah datang bertalu-talu


The Malaysian Insight

FAKTA 1: Pekerjaan Dr Maszlee Malik salah satu yang paling sukar di Malaysia.

Fakta 2: Menteri pendidikan baru dilantik itu juga terpaksa menerima yang ramai rakyat Malaysia yang mahu memberikan pandangan bagaimana reformasi sistem pendidikan Malaysia perlu dilakukan.

Maszlee sudah mengumumkan yang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) akan diteruskan tetapi kedua-duanya akan melalui semakan semula.

Pengumuman itu bagaimanapun tidak menghalang persatuan ibu bapa untuk membentuk kumpulan di media sosial Facebook khusus untuk berkongsi idea tentang cara membangunkan semula sistem pendidikan negara.

Kumpulan Facebook itu yang dinamakan “Revamp the Malaysian Education System” menggesa orang awam memberikan idea atau menyuarakan kebimbangan mereka berkaitan sistem pendidikan sedia ada, sebelum semuanya dihantar kepada Kementerian Pendidikan.

“Jelas sekali pendidikan sangat penting kepada rakyat dan mereka bersemangat mahu menyumbang bagi menjadikan sistem pendidikan berada pada tahap terbaik,” kata pengasas kumpulan itu, Feisal Kamil.

“Kami masih tidak dihubungi oleh menteri atau kementerian tetapi kami sudah berusaha menghubungi mereka dan berharap akan dapat membentangkan laporan kepada kementerian tidak lama lagi,” katanya kepada Malaysia Decides.

Setakat ini, lebin 1,200 maklum balas sudah diterima kurang 24 jam kumpulan itu dilancarkan. Pengumpulan maklum balas akan ditutup pada tengah malam Ahad ini.

Seorang ahli kumpulan itu, Rozana Halpin mengatakan sekolah perlu menyediakan pelajar dengan kemahiran hidup asas bagi menggalakkan kehidupan berdikari.

“Anak perempuan saya jahit bajunya sendiri hasil kelas menjahit yang diterimanya di sekolah ketika berusia 8 tahun,” tulisnya.

Seorang lagi ibu, Shanee Singam mencadangkan bahasa ketiga diwajibkan dalam kurikulum sekolah.

“Kurikulum perlu memasukkan bahasa ketiga pilihan selain daripada Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris,” tulisnya.

Seorang lagi ahli kumpulan itu, Dahlia Soraya pula berharap sistem pendidikan dapat memenuhi keperluan pelajar kelainan upaya.

Katanya, sistem pendidikan semasa yang menggunakan pendekatan “satu cara untuk semua” perlu diubah.

“Modul perlu dibangunkan untuk pelajar yang mempunyai keperluan dan diagnosis berbeza,” katanya. – 25 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen